Tambah baik perintah berkurung ESSCOM

78

27 OGOS: Kerajaan akan menambah baik kawasan serta tempoh perintah berkurung di lokasi panas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berdasarkan hasil risikan serta maklumat daripada pasukan keselamatan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, kerajaan juga akan mengenal pasti kawasan selamat sebagai kawasan bebas perintah berkurung.

Menurut beliau, kawasan operasi ESSCOM meliputi 10 daerah dengan tujuh daripadanya iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran masih dilanjutkan perintah berkurung selama 14 hari mengikut Seksyen 31 (4) Akta Polis 1967.

“Tiga kawasan lagi iaitu Pitas, Kota Marudu dan Kudat diisytiharkan bebas perintah ESSCOM. Pihak ESSCom bersama Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali melalui Jawatankuasa Keselamatan Negeri sentiasa mengkaji isu berkaitan perintah berkurung yang masih dilaksanakan sejak 19 Julai 2014.

“Tujuan perintah berkurung dikuatkuasakan adalah bagi memastikan kawasan perairan di tujuh daerah berkenaan tidak dicerobohi oleh penjenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan dan keharmonian komuniti maritim terutamanya kepada para pelancong dan nelayan laut dalam,” katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail menjawab soalan asal Ahli Parlimen BERSATU Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris Tubau tentang sama ada kerajaan bercadang untuk meluas atau melanjutkan perintah berkurung ESSCOM ke laut terbuka memandangkan kes penculikan kru bot telah beralih ke laut terbuka.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PH Bukit Bintang, Fong Kui Lun mengenai pencapaian ESSCOM memerangi jenayah pencerobohan di kawasan sempadan perairan Sabah, Ismail berkata hubungan baik antara Malaysia bersama Filipina dan Indonesia turut memainkan peranan.

Beliau menambah, operasi Op Benteng juga merekodkan pelbagai kejayaan antaranya menahan nelayan asing serta mengusir bot nelayan itu dari kawasan perairan Sabah.

“Menerusi Op Benteng pada 12 Jun di Sandakan, sebanyak 1,456 bot nelayan diperiksa, 12 nelayan warga Filipina ditahan manakala Op Benteng pada 26 Ogos di Tawau, 2,776 bot nelayan diperiksa, 29 bot nelayan diusir dengan 111 nelayan warga Indonesia ditahan.

“Kerajaan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan perairan negara terutama di kawasan ESSCOM dengan meningkatkan operasi bersama Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan Pasukan Gerakan Am,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.