Sentuh saja RM6.61 bilion, wakil PH jadi panas

181

27 OGOS: Tindakan Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim membangkitkan perolehan rundingan terus yang berlaku ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sehingga mencecah angka RM6.61 bilion membuatkan wakil pembangkang tidak senang duduk.

Sebaik sahaja Shahidan menyentuh topik berkenaan, beberapa wakil pembangkang mula membuat bising mengganggu ucapan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) itu.

Antara yang bangun meminta Shahidan menarik balik ialah Ahli Parlimen PH-Bayan Baru, Sim Tze Tzin. Beliau menyifatkan dakwaan Shahidan itu tidak tepat.

“Arau kena tarik balik. Manifesto PH tak pernah sebut (hapus terus rundingan terus),” katanya.

Ini memaksa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun meminta Shahidan menyambung ucapan.

Menurut Shahidan, memang bukan satu kesalahan untuk rundingan terus namun hal ini timbul kerana PH sebelum ini mendakwa mereka tidak akan mengamalkan rundingan terus.

Katanya, sekarang ini terdedah bagaimana perolehan rundingan terus berlaku ketika PH mentadbir negara malah ada mencecah RM4 bilion untuk sebuah kementerian.

Ini menyebabkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mencelah menjelaskan yang bayaran berkenaan adalah kerana meneruskan projek di zaman BN.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen BN-Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan bangun menjelaskan yang PH mempunyai pilihan untuk mengkaji semula kaedah perolehan dengan kembali membuat tender terbuka.

“Kalau pun dari BN, rundingan terus boleh dibatalkan. Kementerian Kewangan boleh kaji semula untuk buat tender terbuka tapi tidak pun dilakukan,” katanya namun tidak dibalas Anwar.

Shahidan turut mendedahkan Barisan Nasional (BN) telah pun menyenaraikan projek secara rundingan terus tetapi di zaman pemerintahan PH, perkara ini disembunyikan daripada rakyat.

“Tadi Bagan mencabar supaya keluarkan senarai rundingan terus dari kerajaan BN dulu. Kita dah senaraikan rundingan terus dah senaraikan yang dibuat kerajaan BN semua dah terpampang tapi zaman PH mereka tak mahu isytiharkan rundingan terus. Sekarang MOF dah senaraikan 101 projek tapi Jelutong nafikan.

“Jadi, rundingan terus itu kerajaan boleh berbuat demikian tapi jangan buat retorik bawa kami tidak tidak akan buat direct nego buat tander terbuka,” katanya.

Terdahulu, Shahidan turut menyindir Ahli-Ahli Parlimen PH yang menyokong sepenuhnya pelantikan Pengerusi Baharu PAC, Wong Kah Woh bagi menggantikan Ahli Parlimen BN Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad.

“Kita tengok hari ini pembangkang sokong 100 peratus. Alhamdulillah bagus, kalau semua bil (usul) buat macam ini, ini petanda baik. PD ini semua sokong, saya nak tengok siapa pembangkang berani menentang sila bangun.

“Kalau kena dengan mereka, mereka akan menyokong, kalau tak kena merugikan mereka mereka tak akan sokong. Kalau kemesraan begini, Alhamdulillah seronok kita berbincang seperti adik beradik di dewan,” katanya. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.