Pendakwaan dibenar pinda notis usul lucut harta Najib

129

27 OGOS: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda notis usul pelucutan hak terhadap ratusan beg tangan pelbagai jenama termasuk wang tunai, jam tangan dan 27 buah kereta yang dirampas daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta 16 pihak lain.

Memetik laporan Bernama, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin memaklumkan bahawa pihaknya akan meminda notis usul dan membetulkan tiga afidavit sokongan yang diikrarkan oleh bekas Timbalan Pendakwa Raya, Fatnin Yusof, Asisten Komisioner R Rajagopal dan Superintendan Foo Wei Min bagi menyokong notis usul berkenaan.

“Terdapat pembetulan yang agak banyak dalam notis usul asal dan afidavit sokongan sebelum ini. Pihak kami bimbang ia akan mengelirukan mahkamah. Oleh itu, kami akan memfailkan notis usul dan afidavit sokongan yang baharu,” katanya.

Pindaan itu juga dibuat berikutan terdapat kesilapan pada nombor akaun bank, jenis akaun, nama dan cawangan bank serta tarikh sitaan pada notis usul dan afidavit sokongan yang difailkan sebelum ini.

Sementara itu, peguam Fazreen Hazrina Rahim, yang mewakili Najib berkata pihaknya tidak membantah permohonan pihak pendakwaan, namun memohon supaya proses pewartaan notis kepada pihak ketiga dipercepatkan.

“Kesilapan telah disedari oleh pihak pendakwaan pada saat-saat akhir dan pihak kami juga telah memasukkan hujahan berhubung notis usul asal. Oleh itu, kami memohon supaya mahkamah mengeluarkan perintah untuk pewartaan notis kepada pihak ketiga secepat mungkin,” kata peguam itu.

Permohonan untuk meminda notis usul dan membetulkan tiga afidavit sokongan itu juga tidak dibantah oleh peguam-peguam yang mewakili responden-responden lain.

Pewartaan notis kepada pihak ketiga adalah bagi membolehkan pihak ketiga diminta hadir ke mahkamah bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan

Sementara itu, Faten Hadni ketika ditemui pemberita berkata pihaknya akan memfailkan notis usul terpinda dan afidavit sokongan selewat-lewatnya pada 3 September depan.

Katanya, mahkamah juga telah menetapkan 4 September untuk pengurusan kes bagi mendapatkan perintah supaya notis kepada pihak ketiga yang baharu digazetkan.

Dalam notis usul itu, Pendakwa Raya menamakan Najib; Rosmah dan anak mereka iaitu Nor Ashman Razak Mohd Najib dan Nooryana Najwa Mohd Najib; Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib); Mohd Kyizzad Mesran; Senijauhar Sdn Bhd; Aiman Ruslan; Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta; Yayasan Mustika Kasih; Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe (ibu kepada Low Taek Jho); Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isteri Lim Hwee Bin; Kee Kok Thiam; Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden pertama hingga ke-18.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.