Pembentangan RUU IPCC ditangguhkan

68

27 OGOS: Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 (IPCC) dan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019, terpaksa ditangguhkan ke sidang Parlimen akan datang, pada November depan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, berkata keputusan penangguhan pembentangan RUU IPCC ke sesi mesyuarat Dewan Rakyat, November ini dibuat mengikut Fasal 62 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

RUU IPCC digubal bagi menggantikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) itu sepatutnya dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan dijangka diputuskan selepas bacaan ketiga, pada hari ini, selepas berada pada kedudukan kelima dalam aturan urusan mesyuarat serta usul-usul Dewan Rakyat.

Terdahulu, sebelum sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri hari ini, Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang, mengumumkan kementeriannya menangguhkan bacaan kali kedua dan ketiga RUU Akta Racun (Pindaan) 2019 yang dijadual berlangsung pada sidang Dewan Rakyat hari ini, ditangguh ke persidangan akan datang.

“Menurut Aturan Mesyuarat 62, saya mohon DR 37/2019 iaitu Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 seperti yang tertera di nombor tujuh dalam aturan mesyuarat dan usul-usul pada hari ini ditangguhkan bacaan kali kedua dan ketiga dan dibawa ke mesyuarat yang akan datang,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.