MIC bincang semula keputusan sertai PN

107

27 OGOS: Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC perlu membincangkan semula tentang hasrat menyertai Perikatan Nasional (PN) memandangkan keputusan yang dibuat sebelum ini adalah berdasarkan andaian UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan berbuat demikian.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, keadaan telah berubah setelah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa partinya dan BN tidak akan menyertai PN secara rasmi.

Menurut beliau, CWC perlu membuat keputusan baharu sekiranya MIC mahu menyertai PN sebagai sebuah parti dan bukannya melalui BN.

“Saya menyangka UMNO dan BN akan menyertai PN, tetapi apabila UMNO memberi kenyataan melalui Presidennya bahawa mereka tidak akan berbuat demikian, jadi keputusan yang dibuat oleh CWC MIC yang berdasarkan jangkaan UMNO dan BN akan menyertai PN, telah terbatal.

“Jadi, memandangkan mereka tak menyertai PN, keputusan itu tidak boleh diguna pakai,” katanya seperti dipetik dari laporan Malay Mail, hari ini.

Beliau mengulas tentang surat bertarikh 24 Ogos 2020 yang ditandatangani Setiausaha Agung MIC, Datuk M Asojan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung keputusan menarik balik penyertaan parti komponen BN itu dalam PN yang tular dalam media sosial.

Kata Asojan, keanggotaan pemimpin MIC dalam Jawatankuasa Penaja PN adalah tidak boleh diguna pakai sehingga keputusan dibuat oleh CWC MIC.

Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan PN sebagai entiti politik yang rasmi dalam masa terdekat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.