Kebolehjangkitan COVID-19 meningkat semula

84

27 OGOS: R naught (R0) yang merujuk kepada kebolehjangkitan virus didapati meningkat selepas kluster-kluster baharu COVID-19 dilaporkan di negara ini sejak 4 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, R0 yang dilaporkan pada 26 Ogos lalu adalah 0.74 berbanding kadar terendah 0.58 pada 4 Ogos dan yang tertinggi 1.37 pada 22 Julai.

“Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha untuk mengurangkan R0 kepada kurang daripada 1 secara berterusan bagi membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

“Oleh itu, masyarakat diminta untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, sebanyak lima kes baharu COVID-19 yang dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak 9,296 kes.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 177 kes dan kesemuanya telah diasingkan dan diberi rawatan.

Menurut beliau, daripada lima kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import di Selangor yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu Filipina dan Mesir yang melibatkan rakyat tempatan.

“Kesemua tiga kes penularan di dalam negara adalah dalam kalangan warganegara Malaysia di Melaka.

“Dua kes saringan prapembedahan di Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak dan satu kes saringan bergejala di Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak.

“Sehingga kini, terdapat lapan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), di mana enam kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 16 kes pulih COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,994 kes iaitu 96.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Tiada kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes atau 1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.