Aman Jaya kawasan terbaru TEMCO di Kedah

179

27 OGOS: Bandar Aman Jaya dekat Sungai Petani menjadi kawasan terbaru di Kedah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) yang akan dilaksanakan berkuat kuasa tengah malam ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPDP Secara Pentadbiran itu diputuskan hasil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP.

“PKPDP ini berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam, 28 Ogos 2020 sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan membabitkan tiga zon di Aman Jaya, iaitu Kenanga, Mawar dan Melur.

“PKPDP ini membabitkan 22,360 isi rumah merangkumi 265 rumah dan kesemua akan disaring oleh petugas KKM.

“Penduduk di zon terbabit tidak dibenarkan untuk keluar zon manakala orang luar tidak dibenarkan untuk memasuki zon terbabit,” katanya.

Kedah berdepan peningkatan kes COVID-19 kebelakangan ini dengan empat kluster masih wujud.

Kluster Tawar yang bermula di Baling Kedah terus mencatatkan kes jangkitan baru dengan tiga kes semalam.

Ini menjadikan 73 kes keseluruhan dicatatkan dari kluster berkenaan yang mula merebak awal bulan ini.

Dalam laporan KKM semalam, kesemua lima jangkitan tempatan dilaporkan di Kedah termasuk satu kes saringan bergejala di Hospital Alor Setar.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.