Usaha pulih penarafan CAAM kembali Kategori 1

173

26 OGOS: Kerajaan komited untuk memastikan status penarafan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan dipulihkan semula kepada Kategori 1, selepas penilaian semula oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pihaknya menyasarkan tindakan-tindakan pembetulan akan dapat dilaksanakan sepenuhnya pada akhir 2021 bagi membolehkan penarafan CAAM dipulihkan kepada Kategori 1.

Menurut beliau, kesemua 33 dapatan audit yang dibangkitkan oleh FAA yang merumuskan penambahbaikan secara proaktif perlu diambil oleh CAAM terutamanya dalam 3 elemen kritikal(CE) yang saling berkait rapat, iaitu CE 4: Kelayakan Dan Latihan Personel Teknikal, CE 6: Tanggungjawab Perlesenan, Pensijilan, Kebenaran Dan Kelulusan serta CE 7: Tanggungjawab Pengawasan.

“Daripada 33 dapatan audit tersebut, pasukan kerja telah merangka 28 pelan tindakan dan langkah-langkah pembetulan untuk pertimbangan dan pelaksanaan oleh CAAM.

“Kerajaan juga sedang dalam proses untuk mendapatkan khidmat nasihat dan sokongan teknikal serta kepakaran luar dari FAA melalui satu Memorandum Perjanjian di antara CAAM dan FAA yang akan membantu CAAM melaksanakan langkah pembetulan kepada 33 dapatan audit tersebut secara bersasar dan selari dengan keperluan audit FAA.

“Setelah tindakan-tindakan pembetulan dilengkapkan oleh CAAM, Pasukan Kerja akan mengaturkan penilaian semula oleh pihak FAA untuk menutup kesemua 33 dapatan audit,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Seremban, Anthony Loke Siew Fook berhubung persiapan bagi mengembalikan tahap penilaian FAA Amerika Syarikat terhadap CAAM dari Kategori 2 ke Kategori 1.

Sementara itu, bagi menjawab soalan tambahan Anthony berhubung usaha untuk menjadikan CAAM sebuah badan berkanun, Ka Siong tidak menafikan perkara tersebut dan kajian teliti sedang dilakukan untuk merealisasikan hasrat itu.

Beliau menambah, dalam tempoh tiga bulan, pasukan khas yang ditubuhkan bertungkus lumus bagi menjadikan CAAM sebagai sebuah badan berkanun.

“Sebab itu memang susah sebelum ini untuk kita dapat pegawai pemeriksa untuk memeriksa juruterbang dan juga kapal terbang dan daripada itu perlu jadi satu badan yang bekerjasama. Dalam proposal kita dalam cadangan dan kita ke arah itu dan antara perkara yang perlu kita lakukan bagaimana untuk kita melestarikan CAAM. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.