UMNO setuju MN terima BERSATU

578

26 OGOS: UMNO bersetuju supaya Muafakat Nasional (MN) menerima penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi memantapkan lagi penyatuan dan perpaduan orang Melayu di negara ini.

Setiausaha Agung Bersama MN, Tan Sri Annuar Musa berkata, persetujuan itu adalah selaras dengan piagam MN yang termaktub sebelum ini.

“UMNO amat prihatin dan mengambil berat akan usaha menyatupadukan orang Melayu dan membina kekuatan kelompok teras Melayu Islam.

“Ia adalah satu kewajiban dan keutamaan yang menjadi asas kepada perjuangan UMNO itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 15 Ogos lalu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan, Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu telah bersetuju untuk menyertai MN yang mendukung Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar.

Annuar memberitahu, Jawatankuasa Pemandu MN yang dipengerusikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man telah membincangkan permohonan BERSATU untuk menyertai MN pada 6 Ogos lalu.

Beliau menyatakan, susulan menyuarat tersebut, surat rasmi telah diutuskan kepada BERSATU pada 13 Ogos lalu.

“Jawapan rasmi kesediaan BERSATU menyertai MN telah diterima pada 18 Ogos 2020 ditandatangani oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri,” jelasnya.

Beliau turut menyifatkan kesediaan BERSATU untuk menyertai MN itu sebagai suntikan tambahan kepada usaha memantapkan kerjasama politik tersebut.

Annuar menambah, UMNO dan Pas komitek membentuk gagasan MN kerana menginsafi bahawa kuasa politik orang Melayu dan umat Islam semakin lemah lantaran perpecahan yang semakin parah.

“Sejak tertubuh,kita bersyukur kerana MN semakin diterima rakyat pelbagai kaum dan diperlihatkan dengan kemenangan demi kemenangan dalam siri-siri pilihan raya kecil yang diadakan,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.