Rundingan terus bercanggah manifesto PH

115

26 OGOS: Kaedah pelaksanaan projek atau perolehan secara rundingan terus perolehan dan tanpa tender terbuka kerajaan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) mencetuskan isu kerana ia bercanggah dengan janji yang digariskan dalam manifesto gabungan politik berkenaan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri menjelaskan, proses perolehan menerusi pendekatan runding terus memang dibenarkan dalam urus tadbir kerajaan.

“Cuma ia menjadi isu kerana PH memasukkan dalam manifesto mereka untuk memastikan tiada lagi runding terus serta mereka mencanangkan amalan CAT (cekap, amanah dan telus).

“Tetapi nampaknya, ia tidak begitu kelihatan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berhubung isu pemberian 101 projek rundingan terus bernilai lebih RM6.61 bilion yang berlaku semasa era PH dahulu.

Sementara itu, bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli berhubung kutipan Tabung Harapan Malaysia, Abd Rahim memberitahu, baki terakhir tabung tersebut adalah sebanyak RM202,716,775.10 setakat tarikh akhir penerimaan sumbangan iaitu 14 Januari 2019.

Menurut beliau , sehingga 1 Disember 2019, sebanyak RM205,491,219.36 dana Tabung Harapan termasuk kesemua faedah yang diperoleh digunakan untuk melunaskan sebahagian hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Akaun Tabung PH telah ditadbir oleh jawatankuasa akaun bagi menentukan penggunaan dalam akaun berkenaan adalah mengikut tatacara yang termaktub di dalam arahan amanahnya iaitu hanya akan digunakan untuk pembayaran hutang kerajaan Persekutuan dan pembayaran balik perlu dilakukan bagi tujuan akaun amanah sahaja,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.