Musa teruskan rayuan isu Ketua Menteri Sabah

55

26 OGOS: Tan Sri Musa Aman akan meneruskan langkah mencabar kesahihan pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah selepas memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan hari ini.

Musa turut melahirkan rasa syukur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan pada 28 November tahun lalu menolak rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman pemula bagi mencabar pelantikan Mohd Shafie pada 7 November 2018.

“Akhirnya, saya diberi kesempatan untuk mencabar sepenuhnya kes saya di Mahkamah Tinggi Negeri dan Mahkamah Persekutuan membenarkan saya meneruskan rayuan untuk diisytiharkan sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

“Selain itu, Mahkamah Persekutuan juga memutuskan kes terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Mohd Shafie bersifat tidak akademik dan harus didengar sehingga dapat dipastikan kesahihan pemecatan saya sebagai Ketua Menteri selepas pelantikan Mohd Shafie.

“Selain itu, Mahkamah Persekutuan juga berpendapat keputusan kes ini terlalu penting bukan hanya untuk seorang individu saja tetapi untuk rakyat Sabah khususnya serta negara secara amnya.

“Rakyat Sabah berhak untuk mengetahui sekiranya pemecatan saya sebagai Ketua Menteri dilakukan mengikut Perlembagaan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Musa memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan bagi meneruskan rayuannya untuk mencabar kesahihan pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah.

BERNAMA melaporkan, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, dengan majoriti 2-1, membenarkan permohonan Musa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk [email protected] Jahim untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan.

Musa dan Jahid mengemukakan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 28 Nov tahun lalu menolak rayuan mereka berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman pemula bagi mencabar pelantikan Mohd Shafie pada 7 November 2018.

Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Zabariah Mohd Yusof, yang turut bersidang, membuat keputusan memihak kepada Musa manakala Mohd Zawawi menentang.

Abdul Rahman membenarkan permohonan itu dengan 10 isu perundangan untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam rayuan itu.

Dalam penghakimannya, beliau berkata mahkamah berpendapat rakyat Sabah mempunyai hak untuk mengetahui sama ada penyingkiran Musa dilakukan secara sah dan mengikut Perlembagaan Sabah atau sebaliknya.

Mohd Zawawi, dalam penghakimannya pula berkata beliau menolak permohonan itu kerana sudah tidak wujud ‘isu hidup’ dalam kes berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.