Basikal lajak: Ibu bapa boleh didenda, penjara

58

26 OGOS: Ibu bapa atau penjaga remaja berusia 18 tahun ke bawah berdepan hukuman denda RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara maksimum setahun, jika anak mereka disabit kesalahan menunggang basikal lajak sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, bu bapa akan dikenakan tindakan undang-undang bagi anak-anak mereka yang melakukan kesalahan membawa basikal lajak dalam keadaan melulu dan membahayakan orang awam.

“Hukuman sedia ada melibatkan sesuatu sabitan di bawah Seksyen 41, 42, 44, 45A, 45B atau 45C iaitu denda sebanyak RM300 atau, jika sabitan itu sabitan kali kedua atau kemudiannya, dikenakan denda sebanyak RM1,000 atau penjara bagi tempoh tiga bulan.

“Hukuman sedia ada akan dipinda kepada dikenakan denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000 dan boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 untuk bacaan kali kedua dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Ka Siong menambah, hukuman sama turut diperuntukkan kepada ibu bapa atau penjaga jika anak mereka disabit kesalahan penggunaan kenderaan mikromobiliti lain menerusi pindaan terhadap Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, pindaan hukuman bertujuan menjadi satu bentuk pengajaran dan deterrence kepada mana-mana penggunaan kenderaan mikromobiliti di atas jalan raya untuk mematuhi semua peraturan jalan raya.

“Bagi kesalahan penggunaan kenderaan mikromobiliti melibatkan sabitan di bawah Seksyen 43, denda telah dinaikkan daripada RM300 dan dalam sabitan kedua, RM1,000 kepada sebanyak RM1,000 dalam semua keadaan.

“Ia juga menjadi satu bentuk peringatan kepada semua ibu bapa dan penjaga untuk memastikan anak-anak di bawah jagaan mereka sentiasa menjaga keselamatan apabila menggunakan basikal mereka bagi bagi mengelakkan tragedi kemalangan basikal lajak yang telah menyebabkan lapan kematian kanak-kanak pada tahun 2017 untuk tidak berlaku lagi,” katanya.

Sementara itu, Ka Siong memberitahu, pihaknya termasuk termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) akan menggiatkan lagi aktiviti advokasi dan program pendidikan keselamatan jalan raya

“Saya menyeru semua pihak yang berkepentingan termasuk NGO, pengusaha premis makanan dan premis hiburan, pengendali perkhidmatan pengangkutan awam, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain untuk bekerjasama dengan kementerian bagi menjayakan usaha ini ke arah menjamin kesejahteraan dan keselamatan rakyat Malaysia,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.