Awas serangan fitnah terhadap BN

45

26 OGOS: Pelbagai dakyah palsu dan fitnah dijangka timbul dalam masa beberapa hari yang berbaki untuk kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan para pengundi di kawasan itu agar tidak terpengaruh dengan berita palsu yang disebarkan pihak lawan terhadap Barisan Nasional (BN).

Menuri beliau, dalam beberapa PRK sebelum ini, pelbagai cara dilaksanakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan mengeluarkan risalah atau hantaran media sosial untuk memfitnah BN dan calonnya.

“Oleh itu saya ingin berpesan kepada pengundi dalam kawasan DUN Slim ini agar jangan terpedaya dengan fitnah-fitnah tersebut termasuklah sebaran menerusi media sosial atau pun bercetak.

“Jadi sama-samalah kita bertekad bahawa calon BN, Mohd Zaidi Aziz yang juga anak tempatan serta mempunyai pengalaman selain boleh diharapkan untuk menjadi pilihan malah beliau orang yang tahu di kawasan ini berbanding dengan calon bebas untuk kita pilih pada hari Sabtu ini,’’ katanya seperti dilaporkan UMNO-Online.

Ahmad Maslan juga mengajak jentera parti agar sama-sama meneruskan gerak kerja masing-masing bagi menangani kempen yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang.

Beliau mengingatkan jentera parti agar jangan leka terhadap setiap perkara yang berlaku di sekitar mereka.

“Kelihatan pihak BEBAS sedang menyerang dan pemimpin-pemimpin pun dilihat turun dengan habis-habisan maka kita kena pertahankan habis-habisan DUN Slim ini,” jelasnya.

Ahmad Maslan percaya bahawa hanya melalui kemenangan Mohd Zaidi sahaja suara rakyat di DUN Slim boleh dibawa ke peringkat negeri dan Pusat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.