523,000 pelajar universiti terima manfaat potongan yuran

157

26 OGOS: Lebih 523,000 pelajar universiti awam (UA) menerima manfaat daripada potongan yuran asrama dan perkhidmatan atau aktiviti sebanyak 15 peratus merangkumi peruntukan bernilai RM72 juta bagi semester kedua sesi akademik 2019/2020.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mansor Othman berkata secara dasarnya kadar bayaran yuran di universiti awam masih kekal sama walaupun dalam situasi pendemik COVID-19.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen BERSATU Nibong Tebal itu berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa prihatin dengan keperluan ibu bapa dan penjaga supaya yuran di UA dikurangkan dalam usaha membantu mengurangkan beban kewangan pelajar dan ibu bapa akibat penularan COVID-19.

Berikutan itu, Mansor berkata, KPT sudah menjalankan rundingan dengan Kementerian Kewangan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung perkara ini.

“Hasil rundingan berkenaan kerana bersetuju untuk mengurangkan yuran asrama dan perkhidmatan atau aktiviti universiti awam sehingga 15 peratus selepas mengambil kira keupayaan kewangan kerajaan dan UA terbabit.

“Pengurangan yuran bagi semester kedua sesi akademik 2019/2020 bagi pelajar warganegara Malaysia membabitkan peruntukan sebanyak RM72 juta dan memberi manfaat kepada 523,318 pelajar UA di seluruh negara,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan diajukan oleh Ahli Parlimen BERSATU Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun yang meminta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan status yuran pengajian semester bagi penuntut UA dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) akibat penularan pandemik COVID-19.

Mengulas lanjut, Mansor berkata, penggurangan bantuan berkenaan adalah tambahan diberikan kepada pelajar sebelum ini termasuk bantuan ‘one off’, RM200 bagi setiap pelajar UA menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) membabitkan kos RM168.3 juta yang memberi manfaat kepada 841,000 pelajar.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga memperuntukan RM52.2 juta bagi membiayai kos pemberian makanan kepada pelajar yang tidak boleh pulang ke kampung halaman sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebelum ini.

Mansor memberitahu, kerajaan juga memperuntukan RM17.4 juta bagi menghantar pulang lebih 57,565 pelajar kampung halaman masing-masing semasa tempoh PKP.

“Seramai 1.5 juta peminjam Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) pula diberikan pengecualian selama enam bulan mulai 16 Mac 2020 hingga 31 Disember ini dengan jumlah bayaran balik ditangguhkan mencecah RM790 juta,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.