Tempoh bertenang 6 bulan sebelum isytihar muflis

309

25 OGOS: Kerajaan disarankan supaya mewujudkan tempoh bertenang selama enam bulan sebelum tindakan diambil bagi mengisytiharkan mana-mana individu sebagai muflis.

Ahli Parlimen BN Jelebu, Datuk Jalaludin Alias berkata, langkah tersebut boleh dilakukan selepas tempoh warta sementara berhubung kenaikan had ambang nilai muflis RM100,000 berakhir dan diturunkan semula kepada RM50,000.

Menurut beliau, individu terbabit perlu diberi peluang selama enam bulan untuk menguruskan hutang tertangguh agar tidak melebihi RM50,000.

“Saya cadangkan bermula 1 Januari 2021 sehingga 30 Jun 2021 ini kurangkan hutang tertunggak dari minimum RM100,000 kepada RM50,000, maksudnya dalam tempoh enam bulan peminjam berkenaan tidak boleh diisytiharkan bankrap dan diberi masa uruskan hutang mereka.

“Saya risau jika had minimum kurang secara serta-merta dengan jumlah besar. Jangan sukarkan mereka uruskan kewangan dalam menghadapi pandemik COVID-19 ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mencadangkan agar lebih banyak cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dibuka di setiap negeri.

“Pejabat AKPK tidak meluas di seluruh negeri. Contoh, di Negeri Sembilan, hanya ada satu sahaja di Seremban. Tidak ada cawangan lain di Negeri Sembilan. Ini jadi faktor tidak mengetahui kewujudan AKPK atau punya kesulitan untuk dapat bantuan khidmat.

“Akhirnya pengurusan masalah ini tidak berlaku kawasan bandar dan hanya berlaku di luar bandar,” jelasnya.

Sementara itu, Jalaludin berharap agar kerajaan turut mengambil perhatian terhadap kesulitan yang dihadapi oleh tuan rumah berikutan penangguhan bayaran sewa oleh penyewa.

Menurut beliau, bukan semua tuan rumah mempunyai kemampuan kewangan yang teguh bagi membolehkan mereka bertahan sekiranya bayaran sewa tidak diterima untuk tempoh yang panjang.

“Tidak kira pemilik harta atau penyewa, yang saya harap kedua-dua pihak dapat hasil dari rang undang-undang ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.