SPRM minta senarai 101 projek rundingan terus

717

25 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendapatkan senarai 101 projek daripada Kementerian Kewangan yang dikatakan diberikan secara rundingan terus semasa pemerintahan kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH).

SPRM dalam kenyataan media hari ini turut mengesahkan sudah menerima banyak memorandum daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berhubung isu pemberian 101 projek atau perolehan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

“Satu kajian menyeluruh akan dibuat bagi menentukan sama ada wujud unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa berhubung perkara ini.

“Sehubungan itu SPRM menggesa semua pihak untuk memberi ruang kepada suruhanjaya ini untuk meneliti perkara berkenaan,” kata SPRM.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, pihaknya memandang serius pendedahan yang menggemparkan dibuat Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz, dalam sidang Dewan Rakyat, semalam.

“Ini bukan sahaja satu lagi penipuan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang selama ini mendakwa PH mengamalkan ‘tender terbuka’ sebagaimana janji manifesto PH, tetapi merupakan suatu bentuk perompakan kepada harta rakyat.

“Penipuan Guan Eng lebih terserlah apabila Menteri Kanan Datuk Seri Azmin Ali bangun menyanggah beliau di Dewan Rakyat bahawa 101 projek rundingan terus terbabit tidak pernah dibincangkan di Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Berikutan itu Pemuda UMNO dengan ini mendesak SPRM segera menyiasat perkara ini agar sebarang penyelewengan dapat dibongkarkan buat pengetahuan rakyat.

“Pemuda UMNO juga menggesa pihak kerajaan agar mendedahkan kepada umum senarai 101 projek yang terbabit agar rakyat dapat mengetahui hakikat sebenar rompakan besar sepanjang 22 bulan pemerintahan PH,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.