RM6.16 bilion bantu PKS terjejas COVID-19

26

25 OGOS: Kerajaan telah menyalurkan peruntukan bernilai RM6.16 bilion kepada 623,078 usahawan termasuk penjaja serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat penularan COVID-19 menerusi pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jumlah itu termasuk pembiayaan menerusi skim Pembiayaan TEKUN Niaga iaitu pembiayaan secara individu membabitkan 460,626 pembiayaan bernilai RM4.39 bilion.

Menurutnya, RM668.4 juta lagi diagihkan menerusi skim Pembiayaan Teman TEKUN iaitu pembiayaan secara berkumpulan membabitkan 95,907 pembiayaan.

Beliau berkata kerajaan juga memperuntukan RM537.1 juta disalurkan menerusi skim Pembiayaan Kontrak-I iaitu pembiayaan untuk membiayai kontrak dan pembekalan membabitkan 9,864 pembiayaan.

Katanya, kementerian juga menyalurkan peruntukan sebanyak RM313.7 juta menerusi skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) bagi membantu 22,135 usahawan India di seluruh negara.

“TEKUN juga menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan lain bagi membantu usahawan yang terjejas akibat COVID-19 termasuk menerusi skim pembiayaan Covid Business Recovery Micro (CBRM) dengan peruntukan bernilai RM200 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang sudah disalurkan kepada 26,123 usahawan.

“Selain itu, TEKUN juga sudah menyalurkan peruntukan bernilai RM56.73 juta daripada RM100 juta bagi membantu 8,435 usahawan menerusi program TEKUN Business Recovery Scheme (TBRS) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA),” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen BN Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meminta menteri berkenaan menyatakan apakah bantuan yang disalurkan kepada golongan penjaja dan peniaga PKS serta bilangan yang mendapat manfaat daripadanya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata kerajaan dalam usaha membantu hampir sejuta penjaja tepi jalan yang didapati tidak mempunyai sebarang rekod pendaftaran dengan mana-mana agensi.

Wan Junaidi berkata tindakan berkenaan perlu kerana golongan penjaja sedemikian tidak mendapat pembelaan sewajarnya ketika krisis COVID-19 melanda negara sejak awal tahun ini.

Beliau menjelaskan, golongan penjaja yang memasarkan pelbagai produk, termasuk barangan hiliran itu sebaliknya sekadar memperoleh sumbangan secara peribadi, menerusi beberapa pakej rangsangan oleh kerajaan.

“Tetapi perniagaan mereka tiada pembiayaan oleh kerajaan, jadi saya sudah mengarahkan kementerian untuk membuat kajian berapa jumlah penjaja ini di seluruh negara.

“Saya juga berbincang dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan mendapat data berkaitan, namun insya-Allah apabila ‘census’ yang berlaku sekarang ini terlaksana, dalam masa tiga bulan akan datang, maklumat terperinci bakal diperoleh mengikut negeri.

“Berapa jumlah penjaja kecil-kecilan yang belum berdaftar ini di seluruh negara dan saya buat proses pendaftaran serta bagaimana untuk membantu mereka.

“Secara keseluruhannya, hampir 80 peratus (penjaja ini) terdiri daripada golongan Bumiputera, manakala selebihnya iaitu 20 peratus adalah Cina dan India,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PH Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keperluan menyelaraskan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan nasib penjaja kecil-kecilan berupaya dibela sewajarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.