Rayer, Poay Tiong didakwa biadab dalam dewan

255

25 OGOS: Dua Ahli Parlimen PH iaitu RSN Rayer (Jelutong) dan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) digesa memohon maaf dan menarik semula berhubung perkataan ‘pengkhianat’, ‘petualang’, dan ‘pelacur politik’ yang diucapkan mereka dalam sidang Dewan Rakyat, semalam.

Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kenyataan berniat jahat dan biadab itu adalah tidak wajar dikeluarkan oleh seorang Ahli Parlimen kerana ia tidak membantu memupuk keharmonian di negara ini.

“Saya merujuk kepada celahan Kota Melaka dan Jelutong guna kata-kata kurang sopan, biadab dan niat jahat memanggil pengkhianat, petualang dan ‘political prostitute’ (pelacur politik) yang dilemparkan kepada Ahli-Ahli Parlimen tertentu.

“Perkara ini bertentangan dengan peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta spesifiknya Perkara 36 (4) dan 36 (6) yang jelas nyatakan bahawa bagi ahli-ahli dewan yang guna bahasa kurang sopan atau biadab atau membuat kenyataan yang seksis dan seorang ahli tidak boleh mengeluatkan sangkaan jahat atas sesiapa ahli lain,” katanya sebelum sesi pembentangan usul Rang Undang-Undang dimulakan dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Shahidan menambah, jika Rayer dan Poay Tiong gagal berbuat demikian, beliau akan mencadangkan usul agar kedua-dua wakil rakyat DAP itu dihadapkan ke Jawatankuasa Hak Kebebasan dan Keistimewaan Parlimen.

“Justeru, demi menjaga kemuliaan Dewan Rakyat, saya tuntut kedua-dua Ahli Parlimen itu memohon maaf dan menarik balik perkataan itu dan niat jahat. Jika enggan buat demikian, saya akan merujuk mereka ke Jawatankuasa Hak Kebebasan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, beliau memerlukan masa bagi meneliti kejadian tersebut dan turut menasihatkan mana-mana Ahli Parlimen supaya tidak menggunakan perkataan yang kesat.

“Secara am, agar tidak menggunakan perkataan yang kurang enak, kurang manis didengar seperti pelacur dan sebagainya untuk menjaga kemuliaan dan ketertiban dewan ini.

“Kita semua Ahli Berhormat perlu menggunakan bahasa lebih baik lebih enak didengar kerana rakyat memerhatikan kita,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.