PKPDB di Perlis, Kedah berakhir esok

77

25 OGOS: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di dua buah kampung di Perlis dan empat mukim di Kedah akan ditamatkan esok, lebih awal daripada yang dijadualkan pada 31 Ogos.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil selepas tiada kes positif baharu dikesan setelah kesemua penduduk di kawasan terjejas selesai menjalani saringan COVID-19 yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan.

“Kementerian Kesihatan telah menyaring seramai 1,397 penduduk di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul serta lebih 7,000 penduduk di Kubang Pasu dan Padang Terap,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri Kedah bercadang menamatkan PKPDB di empat mukim terjejas oleh Kluster Sivagangga lebih awal berikutan tiada lagi kes positif baharu dicatatkan.

Sementara itu, satu lagi kluster di Kedah iaitu Kluster Tawar yang tercetus akibat satu upacara keagamaan pula mencatatkan 65 kes positif setakat Ahad lalu.

Beliau menambah, walaupun terdapat laporan beberapa kes positif di empat daerah termasuk Baling dan Sik di Kedah melibatkan Kluster Tawar, kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan memutuskan PKPDB tidak perlu dilaksanakan.

“Walau bagaimanapun, kawalan secara bersasar akan dikenakan. Walaupun tidak tutup seluruh kampung atau daerah seperti dicadangkan, kita lakukan kawalan pergerakan secara bersasar. Sebagai contoh ada murid sekolah terlibat, jadi kita tutup sekolah itu dan buat saringan kepada pelajar sekolah,” katanya.

Pada sidang media sama, Ismail Sabri berkata bagi tempoh 24 Julai hingga 24 Ogos, seramai 16,651 individu kembali ke Malaysia melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,689 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 67 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di seluruh negara,” katanya, menambah 56 lagi telah dibawa ke hospital untuk rawatan.

Menurut beliau, dalam tempoh sama, seramai 8,906 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang ke rumah.

Sementara itu, seramai 122 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar arahan PKPP dan daripada jumlah itu, dua individu direman, dua orang dijamin manakala 118 orang dikenakan kompaun.

Penguatkuasaan Operasi Benteng pula berjaya menahan seorang warga asing atas kesalahan imigresen.

Kerajaan turut membenarkan warga asing untuk solat berjemaah di masjid mulai 1 September ini.

Umat Islam juga tidak diwajibkan membawa sejadah sendiri ke masjid namun mereka masih diwajibkan memakai pelitup muka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.