Pemuda BN lapor SPRM isu rundingan terus era PH

66

25 OGOS: Pemuda Barisan Nasional (BN) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terperinci berhubung kemungkinan wujud salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan dalam pemberian 101 projek dan perolehan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus di zaman pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebelum ini.

Tiga sayap pergerakan Pemuda BN iaitu Pemuda UMNO Malaysia, Pemuda MCA dan Pemuda MIC Kebangsaan itu tampil membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini.

Jurucakapnya, Aizat Azam yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, pihaknya berharap SPRM dapat menyiasat dengan segera pendedahan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen, semalam.

“Sebagai rakyat Malaysia, kami risau projek secara rundingan terus berjumlah RM6.61 bilion itu disalahgunakan untuk kepentingan peribadi mana-mana pihak, lebih-lebih lagi ianya didakwa tidak pernah dibincang atau diluluskan dalam Kabinet sebelum ini.

“Kami membuat laporan ini supaya Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng disiasat dan kesemua maklumat mengenai pelaksanaan 101 projek itu disiasat termasuk penerima projek, pihak yang meluluskan serta sebab-sebab ianya tidak melalui tender.

“Ini supaya ia tidak melibatkan unsur salah guna kuasa dan rasuah. Kebimbangan ini juga timbul apabila PH di dalam manifestonya telah berjanji bahwa tidak akan mengadakan projek secara rundingan terus,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Bersama Aizat membuat laporan adalah Naib Ketua Pemuda MCA Pusat, Yow Toh Gee dan Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan, G.Theeageesh.

Semalam, Tengku Zafrul di Dewan Rakyat mendedahkan pentadbiran negara ketika diterajui PH selama 22 bulan, meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.