Pastikan calon BEBAS hilang deposit

45

25 OGOS: Keberkesanan kempen bersepadu PAS, Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim akan menyebabkan calon BEBAS hilang deposit.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, langkah itu akan menyebabkan Pakatan Harapan (PH) sedar bahawa mereka ditolak oleh rakyat.

“Dengan seluruh kekuatan jentera yang ada, Insya-Allah dari hari penamaan calon hinggalah hari mengundi, PAS akan bekerja sungguh-sungguh. Kita pastikan semua 4,103 pengundi PAS memangkah calon Muafakat Nasional ini.

“Kita juga mengharapkan (undi) daripada semua yang ada. Daripada parti BERSATU dan BN keseluruhannya. Kalau dicampurkan keseluruhannya, Insya-Allah kita akan (boleh) hilangkan deposit calon lawan,” katanya seperti dipetik dari laporan HarakahDaily.

Pemimpin-pemimpin DAP termasuk Naib Presidennya, M Kula Segaran dan Naib Pengerusi DAP Perak, A Sivanesan dilihat membantu kempen calon BEBAS, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Malah, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke ketika berucap dalam majlis memperkenalkan Amir Khusyairi dahulu memberi jaminan partinya akan membantu calon BEBAS tajaan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz akan dicabar Amir Khusyairi dan seorang lagi calon BEBAS, Santhara Sekaran Subramaniam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.