Murid sekolah rendah pakai pelindung muka sahaja

54

25 OGOS: Kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dibenarkan untuk hanya memakai pelindung muka ketika ke sekolah, tanpa perlu memakai pelitup muka pakai buang.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini dan dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, kerajaan menggalakkan pelindung muka dipakai bersama pelitup muka.

“Jika mereka pakai pelindung muka dan pakai pelitup muka itu lebih baik, tetapi kalau tiada pelitup muka, ada pelindung muka sahaja pun sudah boleh dianggap pelindung kepada kesihatan diri sendiri,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Ismail Sabri menambah, kelonggaran itu diberikan kerana memikirkan kos pembelian pelitup muka pakai buang yang agak membebankan keluarga pelajar yang miskin, terutamanya apabila mereka mempunyai anak yang ramai.

“Ini untuk permudahkan dan memberi sedikit ruang dan kelonggaran kepada pelajar-pelajar miskin sebab saya difahamkan harga pelindung muka adalah lebih kurang RM3 hingga RM5 sekeping dan boleh diguna berbulan-bulan.

“Untuk membeli pelitup muka pakai buang, ini agak membebankan bagi keluarga yang kurang berupaya dan keluarga miskin… kalau sekeping RM1, kalau anak lima orang, sudah RM5 kos untuk sehari,” katanya.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan perlu mengeluarkan garis panduan mengenai langkah untuk membersih dan mencuci pelindung muka bagi memastikan ia selamat digunakan untuk jangka masa yang lama.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.