Memang tahap sembang gajah pun terbang

267

Mengejutkan. Selama ini bermain di mulutnya menolak amalan rundingan terus. Alih-alih semalam pecah satu lagi ‘tembelang’ Lim Guan Eng sepanjang 22 bulan menerajui Kementerian Kewangan.

Rupa-rupanya ada 101 projek rundingan terus melibatkan nilai RM6.61 bilion berlaku ketika zaman Pakatan Harapan (PH) seperti didedahkan di Dewan Rakyat.

Apabila cuba tai chi yang rundingan terus itu dibuat setelah dimaklumkan kepada Kabinet, Guan Eng kantoi satu lagi ‘tembelang’.

Ini apabila Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga anggota Kabinet PH mendakwa perkara itu tidak pun berlaku.

Memang satu Malaysia boleh nampak bagaimana riak muka Guan Eng ketika itu, malah Mohamad Sabu yang duduk sebelahnya pun jadi perhatian di media sosial gara-gara seperti terkejut.

Tak terkecuali ada alasan diberikan kenapa rundingan terus dibuat. Alasan-alasan ini bukan luar biasa. Dipakai juga pada era pemerintahan sebelum PH.

Itu tidak dipersoalkan, yang jadi perhatian sekarang kerana ada orang itu mendabik dada tahap ‘sembang gajah pun terbang’. Di mulut Guan Eng, rundingan terus membawa konotasi kurang enak antaranya dikait dengan rasuah.

Diratibnya konon dia dan PH amal tender terbuka dalam segenap segi untuk menutup ruang rasuah sekali gus mengurus duit negara dengan cukup berintegriti.

Dikompangnya siang malam sedangkan pernah juga wakil BN di Dewan Rakyat apabila disindir Guan Eng menjelaskan rundingan terus dibuat kerana sebab-sebab tertentu.

Sebab-sebab itu lah yang kini disebut pula Setiausaha Agung DAP itu semalam dan hari ini.

Ingatlah, bangkai gajah mana boleh ditutup dengan nyiru. Bukan hendak kata rundingan terus semuanya salah, itu biarlah pihak berkuasa menyiasat.

Cuma pendedahan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz itu menunjukkan satu lagi wayang Guan Eng.

Bila dah tersepit, mulalah keluar alasan ia dibolehkan untuk hal seperti keperluan mendesak dan libatkan kerahsiaan negara.

Dulu serang habis-habisan BN seolah rundingan terus yang dibuat untuk hal tertentu dilakukan sesuka hati untuk menebalkan poket pemimpin pemerintah.

Nah, sekarang bila pecah tembelang memang ibarat meludah ke langit jatuh muka sendiri. Teruskan tai chi. Mungkin ada lagi yang nak pecah lubang pasal Guang Eng? -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.