Mazlina akui ada kesilapan urus cek Yayasan Akalbudi

254

25 OGOS: Saksi pendakwaan ke-90, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau menggunakan cop tandatangan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempercepatkan proses pengeluaran cek bagi membayar kad kredit atas alasan bekas Timbalan Perdana Menteri itu sentiasa sibuk.

Mazlina, 42, mengatakan beliau mendapat kebenaran daripada Ahmad Zahid untuk menggunakan cop tandatangannya pada cek-cek Yayasan Akalbudi bagi pembayaran bil kad kredit peribadinya.

Bekas setiausaha eksekutif Ahmad Zahid itu berkata, beliau mula menggunakan cop tandatangan untuk cek-cek Yayasan Akalbudi pada 2014.

MAZLINA MAZLAN

“Saya menggunakan cop sebab Datuk Seri (Ahmad Zahid) sentiasa sibuk. Saya khuatir jika bayaran dibuat terlalu lewat, pihak bank akan menyekat penggunaan kad kredit Datuk Seri atau isterinya (Datin Seri Hamidah Khamis).

“Jadual Datuk Seri lebih ketat dan padat sebagai Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri jika dibandingkan dengan tugasnya di Kementerian Pertahanan sebelum itu.

“Datuk Seri sentiasa menghadiri mesyuarat atau perjumpaan dengan tetamu di pejabat. Beliau juga sering keluar kawasan dan luar negara. Oleh sebab itu sukar untuk saya berjumpanya untuk mendapatkan arahan pada satu-satu masa.

“Penyata kad kredit sering diterima selepas tarikh akhir bayaran dan saya khuatir jika bayaran dibuat terlalu lewat, pihak bank akan menyekat penggunaan kad kredit Datuk Seri dan Datin Seri, lebih-lebih lagi jika mereka berada di luar negara,” katanya.

Mazlina mengatakan beliau tidak menggunakan buku cek akaun peribadi Ahmad Zahid kerana tidak menerima arahan darinya untuk berbuat demikian.

Beliau berkata demikian ketika membacakan keterangan saksinya pada perbicaraan Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit daripada dana Yayasan Akalbudi.

Pegawai Tentera Darat itu memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pernah menggunakan cop tandatangan Ahmad Zahid untuk kepentingan peribadi.

Katanya, kali terakhir beliau menggunakan cek Yayasan Akalbudi untuk membayar kad kredit adalah pada awal tahun 2016 sebelum diminta oleh Ahmad Zahid supaya jangan lagi berbuat demikian.

“Sepanjang ingatan saya, pada masa itu, Datuk Seri (Ahmad Zahid) mengarahkan saya supaya jangan lagi guna cek Yayasan Akalbudi untuk membayar kad kredit kerana dikatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mula buat siasatan. Saya tidak tanya lanjut. Saya diminta untuk bayar kad kredit secara tunai,” katanya.

Mazlina berkata Ahmad Zahid tidak pernah menyoalnya setiap kali beliau mengemukakan cek Yayasan Akalbudi yang telah diisinya bagi pembayaran bil kad kredit, insurans dan cukai jalan kenderaan.

Katanya, Ahmad Zahid juga tidak pernah menyoal kenapa beliau tidak menggunakan cek peribadi beliau iaitu akaun Maybank, untuk pembayaran berkenaan.

Ditanya sama ada Ahmad Zahid pernah merungut mengenai kerjanya, Mazlina mengakui ia pernah berlaku.

“Pernah. Kesilapan pada nama dan jumlah yang ditulis atas cek.”

Mazlina juga mengakui beberapa kali terlepas pandang dalam membuat pembayaran kad-kad kredit Ahmad Zahid.

Malah beliau pernah mengeluarkan cek yang tidak ditandatangan dan terpaksa mengeluarkan semula cek baharu. Selain itu beliau juga pernah membuat bayaran terlebih ke atas kad kredit Ahmad Zahid menggunakan cek-cek Yayasan Akalbudi.

Mazlina ditanya pendakwa apakah perasaannya bekerja dengan Ahmad Zahid selama tujuh tahun.

“Saya berasa bangga dapat berkhidmat di bawahnya.”

Ditanya sama ada dia seronok atau tidak, Mazlina menjawab, “Dua-dua ada.”

Ahmad Zahid diwakili barisan peguam bela yang diketuai oleh Hisham Teh Poh Teik manakala pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Perbicaraan bersambung esok. – Oleh NOOR HASILAH ISMAIL

Get real time updates directly on you device, subscribe now.