Kerajaan Singapura stabil kerana tiada PH

78

25 OGOS: Malaysia tidak boleh mengikut langkah yang diambil Singapura dalam menangani krisis COVID-19 kerana negara itu tidak mengalami kemelut politik seperti yang dicetuskan oleh Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen BN Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata keadaan politik di Singapura juga adalah lebih stabil kerana kerajaannya tidak bertukar dalam masa 22 bulan selepas pilihan raya umum.

Menurut beliau, PH juga tumbang kerana tidak amanah dan gagal menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat.

MOKTAR
BUNG MOKTAR RADIN

“Kerajaan Singapura stabil kerana mereka tidak ditipu. Kerajaan Singapura menunaikan janji bukan macam PH. Kalau PH tunaikan janji dan manifesto mungkin mereka masih di sini. Tetapi PH gagal menunaikan janji maka berlaku pertukaran kerajaan.

“Rakyat yang menjadi mangsa. Sepang pun hampir lemas tetapi saya nampak dia masih OK. Selepas itu COVID-19 menyerang dan nasib baiklah ada kerajaan yang dikatakan pengkhianat, apalah kalau tidak negara akan menjadi padang jarak padang terkukur,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Bung Moktar menambah, kerajaan hari ini amat bersungguh-sungguh untuk memastikan negara dan rakyat dilindungi dengan apa cara sekali pun.

“Kerajaan sedia ada mengurus COVID-19 dengan baik walaupun ada kekurangan sehingga diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai antara lima negara terbaik dalam menguruskan COVID-19 di dunia,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.