KDN tubuh jawatankuasa siasat ketirisan 2 agensi

121

25 OGOS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan jawatankuasa bagi menjalankan siasatan berhubung ketirisan perbelanjaan membabitkan dua agensi di bawahnya berikutan Laporan Ketua Audit Negara Siri 1 di Putrajaya, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penubuhan jawatankuasa siasatan itu adalah langkah biasa dilakukan mana-mana agensi di bawah KDN bagi menyiasat sebarang ketirisan perbelanjaan dilaporkan berlaku itu.

“Siasatan sedang dijalankan, kita tubuhkan jawatankuasa dan kita ambil segala maklumat daripada laporan audit berkenaan.

“Kita menerima semua maklumat laporan audit berhubung perkara melanggar peraturan, salah laku atau apa juga kesalahan, kita akan lakukan siasatan dan Ketua Setiausaha akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam sidang media selepas sambutan Majlis Hari Penjara ke-230 di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, hari ini.

penjara
Hamzah (tengah) bersama pengurusan kanan Jabatan Penjara Malaysia.

Semalam, Laporan Ketua Audit Negara mengesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih membayar penyelenggaraan bulanan helikopter sebanyak RM105,875 bagi tempoh 19 bulan walaupun ia sudah tidak aktif melebihi tempoh enam bulan.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, potongan bayaran penyelenggaraan bagi helikopter yang tidak aktif selepas enam bulan sepatutnya diberi potongan sebanyak 25 peratus.

PDRM turut dikesan membayar RM2.7 juta untuk penukaran alat ganti fotografi melebihi had siling ditetapkan, iaitu RM209,964.

Menurut Nik Azman, penukaran alat fotografi yang digunakan Jabatan Siasatan Jenayah (D6) itu melebihi RM2.49 juta daripada had ditetapkan.

Menerusi Laporan Ketua Audit Negara itu juga, dikesan terdapat unsur penentuan harga di kalangan pembekal dalam perolehan membabitkan Penjara Kluang.

Selain itu juga, terdapat syarikat dimiliki individu sama menyertai dan berjaya dalam pelawaan sebut harga.

Nik Azman berkata, pengauditan dijalankan juga mendapati ada perkhidmatan dan pembekalan tidak mengikut kontrak Jabatan Penjara apabila ada pembekal tidak menyediakan sebanyak enam kiosk bernilai RM18,000 walaupun pembayaran penuh sudah dibuat.

Semakan juga mendapati Ibu Pejabat Penjara Malaysia (IPPM) dan Penjara Kluang membuat pembayaran penuh kepada pembekal walaupun pembekalan dan perkhidmatan yang diberikan tidak disempurnakan sepenuhnya.

Selain itu, terdapat kerja dan pembekalan yang dilaksanakan tidak mengikut spesifikasi seperti Surat Setuju Terima (SST) yang ditetapkan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.