Dua letupan bom gegar Pulau Jolo

85

25 OGOS: Sebuah bandar di pulau Jolo, selatan Filipina digegarkan dengan dua letupan semalam yang membunuh sekurang-kurangnya 15 orang termasuk anggota keselamatan dan orang awam selain turut mencederakan kira-kira 75 orang.

Memetik laporan Agensi, pegawai tentera mengatakan dua bom meletup dalam tempoh selang satu jam antara satu sama lain.

Mereka mengesyaki pengeboman di pulau Jolo itu dilakukan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf, menurut laporan agensi berita CNA.

Menurut tentera, letupan pertama dan serangan bunuh diri berlaku pada waktu tengah hari, di sebuah jalan sibuk di pulau berkenaan.

Jeneral Corleto Vinluan berkata, alat letupan buatan yang dipasang pada sebuah motosikal meletup berhampiran sebuah trak tentera di luar pasar raya.

Ketika polis dan tentera turun ke tempat kejadian, letupan kedua meletus di jalan yang sama tidak lama kemudian.

“Seorang pengebom bunuh diri wanita meletupkan dirinya ketika seorang askar menghalangnya memasuki kawasan kawalan,” kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ronaldo Mateo kepada media tempatan.

Selain pengebom terbabit, lapan anggota pasukan keselamatan dan enam orang awam terbunuh, sementara 27 anggota keselamatan dan 48 orang awam cedera dalam letupan itu, kata laporan.

Sementara itu, jurucakap Presiden Rodrigo Duterte berkata, Presiden itu turut mengecam serangan itu dengan mengatakan ‘serangan terburuk tahun ini’.

“Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti individu atau kumpulan di sebalik serangan mengerikan ini,” kata Harry Roque.

Beliau menambah, setakat ini belum ada mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab atas letupan tersebut.

Pengeboman pada Isnin berlaku susulan penangkapan seorang pemimpin Abu Sayyaf di pulau selatan Mindanao pada awal bulan ini.

Pasukan keselamatan berjaga-jaga untuk kemungkinan serangan balas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.