BN guna logo dacing pada PRN Sabah

84

25 OGOS: Barisan Nasional (BN) akan menggunakan lambang sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kerana pengundi di negeri itu sudah biasa dengan simbol dacing BN.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, biro politik dan Dewan Tertinggi BN telah memaklumkan kepada parti-parti rakan komponen Perikatan Nasional (PN) bahawa calon BN akan menggunakan lambang dacing.

Annuar yang juga Ketua Koordinator BN bagi PRN Sabah berkata, mesyuarat Dewan Tertinggi BN membuat keputusan itu berdasarkan tinjauan pendapat yang mendapati pengundi sudah biasa dengan dacing dan perkara itu tidak boleh dipandang remeh.

“Walaupun bertanding atas logo BN, parti-parti lain yang nak guna (lambang) PN, tidak ada masalah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi Town Hall Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Warga Kementerian Wilayah Persekutuan Tahun 2020 hari ini.

Beliau berkata rundingan juga telah dicapai dengan komponen PN untuk tidak akan ada perebutan kerusi untuk ditandingi.

“Soal siapa bertanding dan di mana, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dah diberi mandat dan beliau juga sedang muktamadkan (senarai calon).

“Kita sudah 80 peratus bersedia (dan) rundingan antara parti-parti juga berjalan dengan baik di mana kita telah ada satu persefahaman yang mana kita tidak akan benarkan situasi free for all dalam kalangan parti-parti pembangkang, tetapi pembangkang yang bersatu padu,” katanya.

Annuar berkata BN juga bekerjasama rapat dengan rakan daripada PN bagi memastikan kemenangan calon walaupun berlainan logo.

“Kami bekerjasama rapat dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Malah kami akan berkongsi jentera (pilihan raya), kami adalah satu walaupun guna logo yang berbeza,” katanya.

PRN Sabah ditetapkan pada 26 September manakala penamaan calon pada 12 September dan pengundian awal pada 22 September dengan sejumlah 1.12 juta pemilih berdaftar layak mengundi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.