Abah mesti lakukan lebih baik dari atok: Azeez

586

25 OGOS: Ahli Parlimen BN Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa pengampunan bagi meneliti permohonan pengguguran status bankrap seseorang menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Akta Insolvensi 1967.

Abdul Azeez berkata cadangan ini perlu dilaksanakan bagi membantu individu bankrap terutama mereka di bawah umur 30 tahun dalam mengharungi tempoh sukar ini.

Menurutnya, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana menaikkan nilai ambang muflis sehingga RM100,000 bagi mengelakkan ramai rakyat terjejas akibat COVID-19 diisytiharkan bankrap.

“Saya rasa apa dibuat kerajaan, RM100,000 cukup bagus tapi saya mahu Menteri memikirkan adakah sampai mati mereka bankrap. Kita kena bagi tempoh seperti 10 tahun, sebab itu jawatankuasa itu boleh kaji dengan teliti terhadap permohonan tersebut.

“Kalau mereka bankrap sampai 30 tahun, sampai bila mereka nak kerja, bagaimana nak bagi kemajuan kepada dia. Negara kita negara bertamadun, kes-kes jenayah, perompak kita bagi pengampunan takkan ini pinjam dengan bank tidak boleh beri pengampunan,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang (RUU) Akta Insolvensi 1967 pindaan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Abdul Azeez amat berharap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat merealisasikan hasrat tersebut yang merupakan impian anak muda kerana hal itu tidak boleh diharapkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melakukannya.

“Ini satu perkara yang kerajaan di bawah Yang Amat Berhormat Abah di mana Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) boleh melakukannya. Abah mesti lakukan lebih baik daripada atok dulu sebab masa kempen pilihan raya dulu atok pernah keluarkan video, atok dah tua cucu, atok tak larat.

“Tapi atok nak bangunkan negara ini dari musibah yang sedang melanda negara. Jadi, atok tak buat kita harap Pagoh dapat lakukan di zaman era abah yang menjadi Perdana Menteri yang disayangi oleh anak muda.

“Tolong wujudkan jawatankuasa pengampunan dan berapa tempoh masa untuk diberi pengampunan ini kerana kalau kita tengok isu muflis begitu ketara sekali dan orang tak pernah menjadi muflis mereka tak pernah tahu betapa susahnya bergelar muflis,”katanya. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.