Tolak PH jika mereka menolak RUU COVID-19

252

24 OGOS: Tolak pembangkang pada sebarang pilihan raya akan datang jika Pakatan Harapan (PH) menolak usul Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Covid-19) 2020 yang dijangka diluluskan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen BN Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata suntikan kewangan berjumlah RM45 bilion dipohon kerana menerusi RUU berkenaan adalah mencukupi untuk membantu golongan kurang berkemampuan atau B40 yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Abdul Azeez juga berkata, antara diberik penekanan oleh Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pagoh dalam pembentangan RUU COVID-19 ialah program subsidi upah, insentif pengekalan dan pengambilan pekerjaan, pinjaman TEKUN, elaun COVID-19 untuk barisan hadapan bernilai RM600 juta, bantuan sara hidup RM300 juta dan banyak lagi.

“Semua bantuan berkenaan adalah untuk orang miskin dan golongan B40, tidak disebutkan langsung untuk gologan kaya. Bagaimanapun, Ahli Parlimen PH Bagan, Lim Guan Eng dalam ucapannya baru-baru ini kata PH akan menolak usul RUU COVID-19 jika kerajaan tidak menambah nilai pinjaman menjadi RM90 bilion.

“Mereka meminta kerajaan membuat pinjaman sebanyak RM90 bilion pada hal kerajaan sekarang sudah memperuntukan RM45 bilion dan memikirkan kaedah bagaimana untuk membantu rakyat dalam fasa pertama penularan COVID-19.

“Seramai 106 wakil rakyat pembangkang menolak Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan semula peruntukan perbelanjaan) 2020 ketika undi belah bahagi dilakukan.

“Jadi rakyat kena fikirkan semula apa yang dilakukan oleh PH apbila menjadi kerajaan memerintah sebelum ini kerana peruntukan RM45 bilion hanya untuk membantu rakyat menerusi pembentangan RUU COVID-19 yang akan diluluskan di Parlimen Hari ini,” katanya ketika membahaskan RUU COVID-19 di Parlimen sebentar tadi.

Antara intipati penting RUU COVID-19 termasuk menaikkan had amaun bagi jumlah amaun wang boleh didapati di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983, bagi menubuhkan Kumpulan Wang Covid-19.

Sejumlah RM45 bilion diperuntukkan di bawah pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi dengan program subsidi upah, insentif pengekalan pekerjaan dan pengambilan pekerja serta bantuan latihan menerima dana tertinggi berjumlah RM16.8 bilion.

Ia juga membabitkan RM11.2 bilion bagi Bantuan Prihatin Nasional; projek berskala kecil (RM4 bilion); masing-masing RM2 bilion untuk program kemahiran dan peningkatan kemahiran serta Pembiayaan PKS Penjana selain Geran Prihatin PKS (RM1.9 bilion).

Sejumlah RM500 juta bagi diskaun bil elektrik; bantuan khas pelajar institusi pendidikan tinggi (RM300 juta) dan subsidi pengangkutan awam MY30 (RM200 juta).

Berikutan itu, Abdul Azeez menjelaskan beliau dan ahli Parlimen PN akan menyokong penuh RUU berkenaan.

“Jika ahli parlimen pembangkang (PH) tolak maka saya merayu rakyat supaya menolak kepemimpinan mereka dalam pilihan raya umum, pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri akan datang.

“Semua pengundi khususnya di DUN Slim, mahu pun PRN dan PRU-15 diminta menolak parti pembangkang kerana mereka suka cakap tidak serupa bikin,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Azeez berkata pembentangan RUU COVID-19 dengan peruntukan kewangan bernilai RM45 bilion menerusi pinjaman daripada institusi perbankan tempatan adalah langkah tepat diambil Menteri Kewangan dilantik di zaman pemerintahan kerajaan PN dengan mengambil kira pelbagai aspek.

Abdul Azeez juga mengesahkan bahawa peruntukan dana berjumlah RM45 bilion berkenaan bukan daripada hasil pinjaman luar negara seperti Bon Samurai dibuat di zaman pemerintahan PH dahulu.

“Saya mencabar semua pemimpin pembangkang (PH) menolak RUU COVID-19 ini. Jika mereka berbuat demikian saya akan buat kempen besar-besaran supaya rakyat menolak PH bukan hanya dalam PRK Slim, malah PRN dan PRU-15 juga,” katanya. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.