Syarikat bawah Khazanah dicadang bayar dividen khas

50

24 OGOS: Ahli Parlimen BN Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mencadangkan agar Petronas memberikan dividen RM30 bilion kepada kerajaan bagi tahun 2021.

Ahmad berkata, pada tahun lalu syarikat minyak dan gas nasional itu mencatatkan hasil sebanyak RM240.3 bilion dan jumlahnya cukup besar bersamaan dengan hasil keseluruhan di negara.

“Untung bersih dicatatkan sebanyak 16.8 peratus yang berjumlah RM40.5 bilion tapi Petronas hanya bagi dividen RM24 bilion. Jadi, Yang Berhormat Menteri Kewangan ada duit dari Petronas yang boleh digunakan membayar jadual pinjaman RM45 bilion.

“Oleh kerana Petronas telah kerja kuat untuk beri peruntukan khas, apa kata syarikat-syarikat di bawah Khazanah juga berikan dividen khas selain dividen biasa seperti CIMB, Telekom Malaysia, Axiata, UEM dan banyak lagi anak syarikat yang boleh ‘memaksa’ mereka untuk tingkatkan produktiviti dan keuntungan,” katanya yang membahas Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)), hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pas Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir mengharapkan agar bekalan perubatan dan kelengkapan buat barisan hadapan mencukupi walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia diberikan peruntukan sebanyak RM1 bilion.

“Saya tanya pihak kementerian persediaan bekalan PPE dalam menghadapi kes mendadak di kemudian hari. Kelengkapan PPE mencukupi tetapi baki stok sedikit. Penutup muka tiga lapis pun hanya berbaki 47 hari sahaja,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberitahu pihaknya tidak menafikan cadangan daripada Ahli Parlimen Pontian itu yang akan dipertimbangkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN)

“Seperti disebut, RUU ini memang pinjaman domestik 100 peratus. Kita gunakan dividen syarikat sendiri kerajaan jadi Insya Allah tahun akan datang hasil negara meningkat dengan meningkatkan KDNK dan pengukuhan ekonomi.

“Kerajaan terbuka dengan pelbagai pendekatan kukuhkan hasil dan sebarang cadangan untuk kenalkan dividen PETRONAS atau Khazanah dipertimbangkan tapi buat masa ini RM45 bilion kita dah buat komitmen melalui pinjaman,” katanya. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.