Sultan Selangor bimbang kes rasuah penguat kuasa

80

24 OGOS: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan segelintir pegawai serta kakitangan penguat kuasa jabatan kerajaan di negeri ini.

Baginda bertitah, penglibatan segelintir penguat kuasa dalam kegiatan tidak bermoral itu dilihat mencemarkan reputasi serta imej jabatan kerajaan dan pihak berkuasa terlibat.

“Laporan meluas pihak media mengenai kesalahan jenayah rasuah menggambarkan penolakan rakyat terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan kelicinan pentadbiran kerajaan.

“Seandainya gejala rasuah terus berlaku dengan berleluasa, ia akan menyebabkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap kemampuan jabatan terlibat dalam menguatkuasakan undang-undang di negara ini,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, titah Sultan Sharafuddin, pegawai dan kakitangan penguat kuasa di semua majlis kerajaan tempatan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta jabatan kerajaan lain dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri dengan gejala rasuah.

Titah baginda, bukan itu sahaja, mereka juga perlu mengelakkan perkara yang membolehkan tohmahan rasuah dan penyelewengan dilemparkan oleh mana-mana pihak.

“Ini termasuk juga aspek penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak tertentu semasa melaksanakan tugas penguatkuasaan. Perbuatan sebegini perlu dielakkan sama sekali daripada dilakukan,” titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa agama Islam amat melarang perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan mereka yang diamanahkan dengan jawatan dan kuasa kerana perbuatan itu mengkhianati amanah negara serta masyarakat.

Baginda menyeru agar semua pegawai dan kakitangan penguat kuasa di Selangor menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan berhemah dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain bersikap adil kepada semua pihak ketika menguatkuasakan undang-undang.

“Sikap berhemah ketika mengambil sesuatu tindakan perlulah sentiasa diutamakan demi memelihara ketenteraman serta keamanan awam. Laksanakanlah tanggungjawab anda semua dengan penuh amanah demi rakyat dan negara,” titah baginda.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.