Saksi bertindak sendiri guna duit Yayasan Akal Budi

151

24 OGOS: Saksi ke-87 perbicaraan, Muralidharan Balai Pilai memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau bertindak sendiri menggunakan duit Yayasan Akal Budi untuk membayar kontraktor tanpa merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Muralidharan beranggapan oleh kerana firma miliknya, Lewis & Co menguruskan akaun Yayasan Akal Budi, beliau tidak perlu mendapatkan arahan daripada Ahmad Zahid.

Muralidharan berkata demikian pada hari ke-37 perbicaraan Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akal Budi.

zahid
MURALIDHARAN

Menjawab soalan peguam bela Hisham Teh Poh Teik, Muralidharan berkata pada 9 Januari 2018, beliau telah mengarahkan Sothilechmy Veerapan untuk mendepositkan dua cek ke dalam akaun klien Maybank Tetuan Lewis & Co.

Ia adalah bankers cheque bertarikh 5 Januari 2018 berjumlah RM600,000.00 dan cek milik Profound Radiance Sdn Bhd bertarikh 3 Januari 2018 berjumlah RM1 juta.

Beliau mengakui pada 11 Januari 2018 telah mengarahkan Sothilechmy, yang merupakan akauntan Lewis & Co, untuk menyediakan satu cek firma itu untuk dibayar kepada Teknik Sempurna (M) Sdn Bhd.

Hisham bertanyakan sama ada beliau menggunakan budi bicara sendiri ketika mengarahkan akauntan berkenaan menyediakan cek berkenaan.

Murali: Ya.

Hisham: Dalam erti kata lain, Datuk Seri Ahmad Zahid tidak memberitahu anda – ambil cek ini dan buat bayaran?

Murali: Ya.

Hisham: Awak gunakan cek itu kerana awak menguruskan akaun Yayasan?

Murali: Ya.

Hisham: Pada 14 Ogos lalu awak katakan awak menerima cek-cek dari Ahmad Zahid dan menggunakan wang yang dimasukkan ke akaun Lewis & Co untuk membayar Noble Energy Construction.

Dalam erti kata lain, awak menggunakan budi bicara sendiri untuk menggunakan duit dari cek-cek yang secara totalnya berjumlah RM5.9 juta untuk membayar kontraktor?

Murali: Ya.

Hisham: Awak lakukan demikian kerana anda menguruskan Yayasan bagi pihak Lewis & Co?

Murali: Ya.

Hisham: Adakah anda berjaya mendapatkan surat dari Datuk Seri Nasaie yang mengatakan anda adalah pemegang amanah Yayasan Al-Falah?

Murali: Tidak.

Ketika disoal balas peguambela Hamidi Mohd Noh, Murali berkata dia tidak tahu bahawa disebabkan akaun dibekukan, kerja-kerja pembinaan masjid dan Maahad Tahfiz Antarabangsa yang sepatutnya siap pada September 2019 tidak dapat diteruskan.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt sama ada dia menggunakan dua cek yang disebut oleh Sothilechmy untuk membayarTeknik Sempurna.

Muralidharan: Zahid tidak pernah secara spesifik memberitahu saya untuk menggunakan cek dari Profound Radiance untuk membayar Teknik Sempurna. Dia hanya minta saya buat bayaran dari akaun Lewis & Co. – Oleh NOOR HASILAH ISMAIL

Get real time updates directly on you device, subscribe now.