RM4.5 juta peruntukan mekanisasi industri sawit

109

24 OGOS: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) bagi melaksanakan Skim Galakan Mekanisasi Industri Sawit bagi menggalakkan penggunaan teknologi mesin atau jentera di sektor perladangan.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, di bawah skim tersebut, pengusaha ladang akan mendapat diskaun sehingga 20 peratus bagi setiap jentera yang dibeli untuk kegunaan di ladang sawit.

“Sebenarnya untuk jangka panjang, sebenarnya penggalakan penggunaan mesin atau jentera di sektor perladangan terutamanya bagi aktiviti penuaian dan pemungutan buah tandan segar kerana aktiviti tersebut memerlukan pekerja yang paling ramai.

“Untuk kita dapatkan teknologi dan inovasi baharu industri sawit melalui penyelidikan dengan mewujudkan dana mekanisasi sawit RM30 juta digunakan untuk pembayaran penyelidikan penjenteraan pusat penyelidikan di dalam dan luar negara.

“Untuk perolehan teknologi bagi tujuan penganjuran penciptaan jentera bidang sawit melalui penyelidikan. Diharap lebih banyak jentera kompetitif dapat dicipta yang boleh diguna pakai bagi mengurangkan tenaga buruh khususnya tenaga buruh asing,” katanya dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan tambahan Ahli Parlimen PH Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berhubung langkah kementerian terhadap penggunaan teknologi terhadap sektor perladangan.

Jeck Seng menambah, kos tinggi pembelian jentera menyebabkan kesukaran penggunaan teknologi dapat digunakan dalam sektor perladangan khususnya buat pekebun-pekebun kecil.

“Sebenarnya guna jentera lebih berkesan contohnya sawit dan sebagainya tetapi bukan begitu mudah kerana perlu diguna pakai oleh perusahaan terutamanya pekebun kecil bukan mudah sebarangan. Kementerian akan ambil banyak langkah termasuk jentera ini memang ada kajian dan diperkenalkan dari semasa ke semasa,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.