Prosiding inkues kematian Nora Anne Quoirin bermula

62

24 OGOS: Prosiding inkues bagi mencari punca kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban bermula pada jam 9.06 pagi tadi.

Difahamkan saksi pertama dipanggil memberi keterangan di hadapan Koroner Maimoonah Aid, ialah Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusof.

Bagi perjalanan inkues, mahkamah menetapkan hanya sembilan wartawan dibenarkan berada di dalam galeri awam untuk mengikuti dan membuat liputan kes berkenaan setelah mengambil kira faktor penjarakan fizikal yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Wakil media tempatan dari pelbagai agensi dilihat mula berkumpul di pekarangan mahkamah seawal 8 pagi bagi mengikuti prosiding kes yang mendapat liputan meluas itu.

Media sebelum ini melaporkan orang ramai boleh menyaksikan prosiding yang disiarkan secara langsung di Portal Rasmi Badan Kehakiman Malaysia mulai hari ini.

Prosiding itu turut disiarkan dalam YouTube dan Facebook rasmi Badan Kehakiman Malaysia: The Malaysian Judiciary.

Menurut Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman, kesemua 64 orang saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan dan membantu siasatan bermula 24 hingga 28 Ogos dan bersambung pada 1 hingga 4 September ini.

Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos tahun lalu untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai, Seremban.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya oleh keluarganya pada jam 8 pagi hari berikutnya.

Selepas 10 hari misi pencarian, mayat remaja itu ditemui di kawasan berlurah dekat anak sungai kira-kira 2.5 kilometer dari resort dia dilaporkan hilang.

Hasil bedah siasat mengesahkan Nora Anne mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh panjang.

Selain itu, Nora Anne hanya mempunyai kesan calar kecil pada kaki ketika ditemui dan dipercayai mati akibat stres berpanjangan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.