Isu kuarantin: Tiada siapa terkecuali, tegas Muhyiddin

91

24 OGOS: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut proses undang-undang berhubung isu pelanggaran kuarantin membabitkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan mengambil maklum dan memandang serius kes dakwaan pelanggaran perintah kuarantin oleh Dr Mohd Khairuddin setelah beliau pulang dari Turki pada 7 Julai 2020.

“Kerajaan Perikatan Nasional berpendirian bahawa setiap rakyat Malaysia adalah tertakluk di bawah undang-undang Negara dan tidak ada sesiapa pun yang terkecuali.

“Sehubungan itu, saya serahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan bagi menjalankan siasatan yang menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut proses undang-undang,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Dr. Khairuddin sebelum ini dikompaun RM1,000 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung pelanggaran kuarantin setelah pulang dari luar negara seperti dibangkitkan beberapa pihak sebelum ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu juga dalam kenyataannya kelmarin memohon maaf kepada rakyat Malaysia di atas kekhilafan tersebut.

Beliau juga menyumbangkan empat bulan gajinya sebagai menteri kepada Tabung Bantuan Bencana Negara COVID-19. – Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.