Peruntukan RUU COVID-19 dilulus sebulat suara

195

24 OGOS: Dewan Rakyat hari ini, sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus (COVID19) 2020, sekali gus membolehkan peruntukan berjumlah RM45 bilion disalurkan ke Kumpulan Wang COVID-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kelulusan RUU berkenaan juga membolehkan kerajaan menaikkan had statutori jumlah wang yang berupaya diperoleh mengikut Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983 hingga ke paras 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan tarikh kuat kuasa akta berkenaan bermula pada 27 Februari lalu hingga 31 Disember 2022.

Tengku Zafrul berkata kenaikan had ini adalah suatu langkah sementara dan akan kembali kepada had 55 peratus KDNK pada tahun 2023.

Beliau berkata, pakej rangsangan ekonomi negara yang dilaksanakan kerajaan adalah daripada pinjaman domestik kerana negara mempunyai tahap kecairan kewangan yang mencukupi sekitar RM146 billion, sekali gus merendahkan risiko pertukaran mata wang asing.

“Buat masa ini, kerajaan akan menggunakan instrumen pembiayaan dalam negeri kerana ia dapat mengurangkan pendedahan risiko tukaran asing serta risiko pembiayaan semula,” katanya ketika berucap sesi penggulungan usul RUU COVID-19 di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, sebarang penerbitan bon atau sukuk antarabangsa perlu mempunyai objektif yang strategik terutama dalam membangunkan pasaran sukuk global serta mewujudkan tanda aras baharu sebagai ukuran dan rujukan untuk penerbitan sekuriti sektor swasta buat pelabur antarabangsa.

“Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengumumkan penurunan nisbah Keperluan Rizab Berkanun sebanyak 100 mata asas kepada dua peratus pada Mac 2020 serta fleksibiliti SRR tambahan yang diberikan kepada Peniaga Utama dengan mengiktiraf MGS dan MGII sebagai sebahagian daripada pematuhan SRR.

“Langkah ini telah menambah mudah tunai bernilai kira-kira RM30 bilion ke dalam sistem perbankan dan ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BNM dalam memastikan mudah tunai adalah mencukupi untuk menyokong aktiviti pengantaraan kewangan,” katanya.

Beliau juga berkata BNM telah menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 125 mata asas daripada 3.00 peratus kepada 1.75 peratus, iaitu paras terendah sejak 2004.

Penurunan berturutan OPR itu, katanya, bertujuan terutamanya untuk menambah baik kegiatan ekonomi serta memberikan rangsangan dasar tambahan untuk mempercepat kadar pemulihan ekonomi.

Mengenai perbandingan bantuan rangsangan antara Malaysia dan negara lain, Tengku Zafrul berkata ia adalah melebihi 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), bukan tiga peratus seperti yang dikatakan.

Rangsangan negara lain turut mengambil kira sumbangan ekosistem keseluruhan. Ini termasuk jaminan kerajaan, sumber institusi perbankan, dan insentif cukai masing-masing.

“Oleh itu, perbandingan tadi kurang tepat dan dengan izin, not an apple-to-apple comparison (bukan perbandingan yang boleh dibandingkan) dan telah menyebabkan kekeliruan,” katanya.

Beliau juga memperjelaskan bahawa pembentangan RUU itu hanya membabitkan suntikan langsung fiskal RM45 bilion kerana ia adalah sejumlah wang yang akan dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Disatukan.

Daripada jumlah RM45 bilion wang tambahan daripada pakej rangsangan itu sebanyak RM30.608 bilion telah disalurkan dan program subisidi upah mengambil pecahan yang terbesar.

“Bagaimanapun, kita harus ingat bahawa keseluruhan rangsangan yang diperkenalkan kerajaan adalah RM295 bilion, atau hampir 20 peratus daripada KDNK.

“Daripada jumlah ini juga, RM145 bilion merupakan suntikan daripada pelbagai sumber seperti pembiayaan inisiatif Bank Negara, GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan agensi kerajaan,” katanya.

Mengenai moratorium, beliau berkata kebanyakan bank sudah mula menerima permohonan moratorium lanjutan dan bantuan bank bersasar mulai 7 Ogos lalu.

“Pada masa yang mencabar ini, kemampuan bank untuk menyediakan penampan yang secukupnya amatlah penting bagi membolehkan mereka menyerap kemungkinan pinjaman terjejas atau non-performing loans (pinjaman tidak berbayar) yang lebih tinggi.

“Oleh yang demikian, bantuan bersasar ini memastikan usaha terus tertumpu demi manfaat peminjam yang betul-betul terjejas. Ini juga bagi memastikan bank terus berupaya memberi pinjaman kepada isi rumah dan perniagaan untuk menyokong pemulihan ekonomi,” katanya. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.