Muhyiddin ucap tahniah pada pimpinan baru Bersatu

38

24 OGOS: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengharapkan kepimpinan baru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat menjalankan tugas dan amanah dengan penuh berdedikasi.

Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, bagi yang tidak terpilih pula diharapkan terus istiqamah dalam saf perjuangan parti.

“Saya percaya anda juga mempunyai peranan yang besar untuk terus menyumbang kepada parti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam kenyataan itu, Muhyiddin berkata, proses demokrasi di dalam Bersatu ternyata berjalan dengan baik apabila pemilihan parti yang julung-julung kalinya ini berjaya dilangsungkan dalam suasana teratur dan tertib.

Katanya, ahli-ahli parti cukup matang dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk memilih barisan kepimpinan parti bagi tempoh tiga tahun akan datang.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua barisan kepimpinan Bersatu yang telah memegang jawatan di peringkat cawangan, bahagian, Srikandi, Armada dan Majlis Pimpinan Tertinggi dalam pemilihan parti yang berakhir semalam,” jelasnya.

Dalam kenyataan itu, Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti yang dipengerusikan Tan Sri Syed Hamid Albar dan semua petugas yang terlibat di setiap peringkat pemilihan.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua barisan kepimpinan parti di peringkat cawangan, bahagian, Srikandi, Armada dan Majlis Pimpinan Tetinggi yang telah menjalankan tugas bagi sesi 2016-2020,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.