Kerajaan tak berat sebelah isu menteri langgar SOP

132

24 OGOS: Kerajaan tidak akan melindungi mana-mana kenamaan (VIP) termasuk menteri yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, kerajaan juga tidak akan bias atau berat sebelah dalam mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu termasuk golongan VIP dan menteri Kabinet jika mereka didapat melanggar SOP ditetapkan pihak berkuasa bagi menangani penularan wabak COVID-19.

Ahli Parlimen BERSATU Alor Gajah itu berkata, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sudah membayar kompaun RM1,000 seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan kerana didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) daripada menjalani kuarantin di rumah wajib selama 14 hari selepas pulang dari Turki, pada 7 Ogos lalu.

“Kerajaan terus menjunjung keluhuran undang-undang tiada pun antara dua darjat… Kalau kita lihat menteri berkenaan sudah pun membayar kompaun RM1,000 mengikut lunas undang-undang,” katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan oleh Ahli Parlimen PH Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Mahfuz ingin tahu adalah kerajaan mengamalkan sikap berat sebelah atau bias dalam mengenakan hukuman terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang gagal mematuhi SOP kuarantin di rumah selama 14 hari selepas pulang dari Turki pada 7 Ogos lalu.

Bagaimanapun, perbuatan Mahfuz yang terus membangkitkan perkara itu biarpun sudah dijawab oleh Mohd Redzuan menyebabkan Ahli Parlimen BN Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bangkit untuk mencelah.

“Cukup-cukuplah Pokok Sena…Kes projek terowong (dasar laut Pulau Pinang) dan pembelian banglo (oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng) kita buka balik barulah ada kedaulatan undang-undang.

“Menteri berkenaan patut dipuji bukan dikeji kerana beliau pergi ke Turki dan membawa balik pelaburan bernilai lebih RM82 bilion dan selamatkan negara berbanding ‘Atok’ (Tun Dr Mahathir Mohamad) dulu gaduh sana sini sehingga pelabur takut datang ke Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Mohd Redzuan berkata, kerajaan akan terus memberi pendidikan kepada seluruh anggota masyarakat untuk membudayakan norma baharu kehidupan sebelum berakhirnya fasa PKPP ini.

“Komitmen kerajaan ini dibuktikan dengan pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu oleh YAB Perdana Menteri pada 8 Ogos 2020 yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kawalan kendiri dalam kalangan masyarakat.

“Rakyat perlu terus bekerjasama dengan Kerajaan khususnya para petugas kesihatan dan penguatkuasa undang-undang untuk memastikan norma baharu diamalkan bagi memutuskan rantaian wabak ini.

“Apa yang pasti, kita perlu sama-sama berganding bahu memastikan bahawa kehidupan mengikut norma baharu ini dapat diteruskan selagi wujud ancaman wabak COVID-19 ini,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen PAS Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.