Isu harga sawit jatuh zaman PH panaskan dewan

140

24 OGOS: Perbahasan usul Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Covid-19) 2020 oleh Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim agak panas dengan ‘gangguan’ yang dicetuskan oleh Ahli Parlimen PH Jelutong, RSN Rayer.

Walaupun berulang kali diingatkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk memberi ruang kepada Shahidan menghabiskan pembentangan usulnya, Rayer tetap berdegil menuduh Ahli Parlimen Arau itu melanggar Peraturan Mesyuarat 36 (12).

Rayer dipercayai tidak berpuas hati apabila Shahidan membangkitkan isu kejatuhan harga sawit ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah dahulu.

“Hari itu masa saya berucap (berbahas) baru balik dari Chini, hari ini berucap baru balik Slim di mana peneroka di sana bersyukur harga sawit sudah capai RM580 setan. Masa PH jatuh tak sampai RM200 pun setan sampai menteri kelam kabut tebang semua sawit tanam buluh.

“Kita tahu hasil sawit meningkat dan dalam masa sama hasil sawit meningkat. Dulu hasil satu bulan sekali susah nak capai sekarang naik sehingga dua kali ganda. Ini menunjukkan Allah tolong kita. Dalam zaman PH harga jatuh hasil pun kurang. Kalau tak, mana boleh menteri berfikiran tanam buluh,” katanya.

Hujah Shahidan turut disokong oleh Ahli Parlimen BN Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang ketika bangkit mencelah menyifatkan kenyataan itu adalah benar.

Rayer yang tidak berpuas hati membuat tuduhan melulu dan tidak berasas kononnya Abdul Azeez seorang pencuri.

“Bapa awak punya duit ke saya curi…kalau saya ada curi duit bapa awak, awak bagitahu sekarang kalau saya ada curi duit bapa awak,” kata Abdul Azeez.

Pertikaman lidah antara Abdul Azeez dan Rayer berpanjangan sehingga keadaan berjaya dikawal oleh Azhar.

“Boleh saya bercakap? Apa yang dikatakan oleh Arau harga sawit jatuh, memang jatuh dan ketika itu PH menjadi kerajaan. Itu interpretasi dari beliau,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.