36,000 pelajar IPT dibiayai PESP

47

24 OGOS: Lebih 36,000 pelajar di peringkat pengajian tinggi sudah menerima manfaat daripada Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP), membabitkan peruntukan melebihi RM3 bilion sejak diperkenalkan pada 1975.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Arthur Joseph Kurup berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 12,641 pelajar dari Sabah menerima manfaat PESP, membabitkan peruntukan RM213.11 juta, manakala 12,815 pelajar dari Sarawak dengan peruntukan RM411.66 juta.

Dalam tempoh 2010 hingga 2019, seramai 3,426 pelajar menerima tajaan PESP membabitkan peruntukan RM874 juta.

“Bagi pelajar di Sabah dan Sarawak, seramai 575 pelajar iaitu 17 peratus dengan kos tajaan melebihi RM100 juta.

“Di Sabah, seramai 245 pelajar mendapat tajaan PESP, masing-masing 163 pelajar ditaja untuk mengikuti pengajian di universiti tempatan dan 82 pelajar bagi universiti di luar negara.

“Di Sarawak, seramai 330 pelajar mendapat tajaan PESP, masing-masing 234 pelajar ditaja untuk pengajian di universiti tempatan dan 96 pelajar mendapat tajaan bagi universiti di luar negara,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Putatan, Awang Husaini Sahari tentang sama ada kelebihan diberikan kepada pelajar Sabah dan Sarawak untuk memohon penajaan pendidikan pengajian tinggi PETRONAS.

Menjawab soalan tambahan, beliau berkata, bantuan penajaan pendidikan daripada PETRONAS diberi kepada pemohon yang layak dari segi merit dan tiada kelebihan termasuk kuota istimewa diperuntukkan kepada negeri pengeluar minyak utama negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

PETRONAS menerima 10,000 permohonan bagi program PESP dan hanya lebih kurang 400 pemohon yang akan menerima tajaan di bawah program berkenaan pada tahun ini.

“Ini (PESP) adalah program sangat kompetitif dan hanya pelajar terbaik sahaja boleh diterima bagi program ‘outstanding’ seperti ini,” katanya.

Namun begitu, Arthur berkata, syarikat pengeluar minyak negara itu memberi pelbagai bantuan lain dari segi kemudahan infrastruktur untuk pembangunan pendidikan bagi mengurangkan jurang perbezaan infrastruktur antara kedua-dua negeri itu dengan negeri di Semenanjung.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.