Zahid sahkan MIC sertai PN

276

23 OGOS: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan, MIC merupakan salah satu parti yang akan menjadi sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, selain MIC, parti yang turut mendaftarkan PN termasuklah Bersatu, PAS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

“Memang setakat ini maklumat yang saya perolehi, MIC menjadi salah sebuah parti yang turut mendaftarkan PN bersama PAS, STAR dan Bersatu. Ini tidak menjadi masalah setakat ini kerana PN harus didaftarkan.

“Pendirian UMNO dan BN dalam Pilihan Raya Umum akan datang, kita tetap guna lambang dacing untuk menjadi simbol kepada calon-calon UMNO dan BN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas beramah mesra bersama pengundi India di Bilik Gerakan parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) di Kampung Baru, Slim River, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan setakat ini, terdapat lima parti yang didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai gabungan PN termasuk Bersatu dan PAS, namun tidak menyatakan tiga lagi parti lain.

Dalam perkembangan lain Ahmad Zahid berkata, perundingan agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan depan, akan dimuktamadkan selewatnya seminggu sebelum hari penamaan calon pada 12 Sept depan.

Beliau berkata, rundingan mengenai agihan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, diadakan bersama beberapa parti lain termasuk Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), STAR, Parti Bersatu Sabah, Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

“Insya-Allah kita akan membentuk sebuah gabungan semua parti-parti ini bersama-sama dengan BN Sabah, supaya terdapat hanya satu gabungan parti-parti politik di Sabah dan kami akan mengemukakan ‘the new deal’ melalui manifesto khusus bagi pengundi-pengundi negeri Sabah,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga memutuskan Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, dilantik sebagai Ketua Koordinator PRN Sabah bagi membantu jentera pilihan raya BN Sabah, bersama rakan-rakan parti lain.

Menurut Ahmad Zahid, lambang BN akan digunakan pada PRN Sabah, namun jika parti yang mahu bekerjasama dengan BN ingin guna lambang masing-masing, rundingan akan dibuat untuk memastikan hanya pertandingan satu lawan satu berlaku.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.