STAR sah bertanding DUN Paginatan, Tambunan

126

23 OGOS: Sebanyak dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tambunan dan Paginatan sah akan ditandingi oleh Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, bulan depan.

Perkara itu disahkan oleh Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan kepada pemberita di Kampung Lohan, Ranau, semalam.

Menurut beliau, STAR bakal bertanding di kerusi DUN Paginatan selepas penyandangnya, Datuk Abidin Madingkir keluar dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akhir bulan lalu dan menyertai STAR.

Jeffrey yang juga ADUN Tambunan pasti bertanding semula di kerusi tersebut.

“Ya, yang pasti setakat ini STAR akan bertanding di DUN Paginatan dan Tambunan. Rundingan di kerusi lain masih lagi berjalan tapi berapa jumlah yang kita minta belum dapat diumumkan lagi,” jelasnya.

Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Keningau menerima kemasukan Abidin dan kira-kira 1,000 bekas ahli UPKO ke dalam STAR.

Dalam pada itu, mengulas tentang hasrat Parti Bersatu Sabah (PBS) mengambil alih DUN Tambunan pada PRN kali ini, Jeffrey memberitahu, setiap parti berhak memilih kerusi yang mahu ditandingi tetapi terpulang kepada rakyat untuk menentukan.

Tambunan adalah kerusi tradisi PBS yang disandang bekas Presidennya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dari 1976 sebelum jatuh ke tangan Jeffery yang juga adiknya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.