Nilai dagangan agrokomoditi RM82 bilion

104

23 OGOS: Sektor agrikomoditi mencatatkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM82 bilion sepanjang Januari hingga Jun lalu, meningkat 2.7 peratus berbanding RM79.8 bilion yang direkodkan pada 2019.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, pendapatan eksport produk-produk agrikomoditi adalah sebanyak RM63.7 bilion atau 14.2 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara bagi tempoh tersebut.

Menurut beliau, nilai berkenaan meningkat sebanyak 4.4 peratus berbanding RM61.1 bilion yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini disebabkan oleh kenaikan harga agrikomoditi utama iaitu harga purata minyak sawit mentah (CPO),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Khairuddin menambah, produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 51.8 peratus daripada jumlah eksport barangan agrikomoditi mencatatkan peningkatan sebanyak 3.2 peratus kepada RM33 bilion.

Namun, beliau memberitahu, kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan iaitu sebanyak 12.3 peratus kepada 12 juta tan.

“Pandemik COVID-19 telah memberikan kesan kepada pengeluaran eksport minyak sawit bukan sahaja di Malaysia malah, kepada semua negara pengeluar minyak sawit dunia.

“Melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan yang bermula secara berperingkat pada 18 Mac hingga 31 Ogos 2020 telah memberikan kesan secara langsung kepada eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit,” jelasnya.

Khairuddin memberitahu, pengecualian 100 peratus duti eksport bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2020 yang diumumkan oleh kerajaan pada 5 Jun lalu dijangka dapat mendorong permintaan dunia ke atas minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia.

Selain itu, katanya, kesan pengurangan duti import sebanyak lima peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–India (AIFTA) mulai 1 Januari lalu dijangka mampu merangsang kembali eksport minyak sawit Malaysia ke India.

“Produk getah menyumbang sebanyak 27.9 peratus kepada keseluruhan eksport barangan agrikomoditi telah meningkat sebanyak 18.3 peratus kepada RM17.8 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2020.

“Peningkatan ini adalah disebabkan oleh nilai eksport produk berasaskan lateks terutama sarung tangan getah yang telah merekodkan peningkatan yang ketara iaitu sebanyak 40.3 peratus kepada RM11.8 bilion berbanding RM8.4 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

“Kuantiti eksport bagi sarung tangan getah turut mencatatkan peningkatan yang ketara iaitu sebanyak 48 peratus kepada 563 ribu tan berbanding 380 ribu tan bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya,” ujarnya.

Beliau menyatakan, produk berasaskan kayu-kayan telah menyumbang sebanyak 15.1 peratus kepada eksport barangan agrikomoditi.

“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2020, nilai eksport adalah sebanyak RM9.6 bilion, menyusut sebanyak 9.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2019,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata, eksport produk-produk koko yang menyumbang sebanyak 4.9 peratus kepada eksport barangan agrikomoditi mencatatkan peningkatan sebanyak 0.8 peratus kepada RM3.1 bilion.

Selain itu, beliau memaklumkan, nilai eksport lada merekodkan penurunan sebanyak 20 peratus kepada RM51.9 juta bagi tempoh Januari hingga Jun 2020 berbanding tempoh yang sama pada 2019.

“Eksport produk-produk agrikomoditi ke Amerika Syarikat meningkat 24.9 peratus ke RM9.6 bilion. Produk sarung tangan getah meningkat sebanyak 25.9 peratus kepada RM3.9 bilion.

“Eksport produk-produk agrikomoditi ke China meningkat 20 peratus kepada RM9 bilion. Nilai dan kuantiti eksport minyak sawit meningkat masing-masing sebanyak 69.9 peratus dan 34 peratus kepada RM3.2 bilion dan 1.2 juta tan,” jelasnya.

Berhubung prestasi purata harga domestik agrikomoditi utama bagi tempoh Januari hingga Jun lalu berbanding tempoh yang sama pada 2019, Mohd Khairuddin berkata, purata harga CPO meningkat 21.8 peratus kepada RM2,433.50 per tan berbanding RM1,998.00 per tan manakala purata harga CPO pada 21 Ogos 2020 meningkat kepada RM2,785.50 per tan dan purata harga getah asli (SMR 20) menurun 13.3 peratus kepada RM5.15 sekilogram berbanding RM5.93 sekilogram.

Berdasarkan prestasi perdagangan sektor agrikomoditi bagi tempoh Januari hingga Jun 2020, beliau yakin prestasi perdagangan itu akan kekal positif sepanjang tahun. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.