Insiden gaduh Dataran Merdeka disiasat

197

23 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat terperinci berhubung insiden pergaduhan beramai-ramai membabitkan sekumpulan lelaki di Dataran Merdeka, di sini, awal pagi tadi, seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah, berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung insiden itu yang turut tular di media sosial, pada jam 1.29 pagi.

“Kita mendapat maklumat kejadian pergaduhan membabitkan beberapa anak muda bersenjatakan topi keledar.

“Namun, anggota yang dikerahkan ke lokasi kejadian mendapati tiada lagi pergaduhan berlaku.

“Insiden itu dipercayai berlaku kerana perselisihan faham antara kumpulan anak muda bermotosikal. Ia tidak membabitkan elemen kongsi gelap atau gengsterisme,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Polis giat menjalankan siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata di tempat awam.

Sebelum ini, video berdurasi 14 saat tular di Facebook dan Instagram, menunjukkan sekumpulan anak muda lelaki menendang dan menumbuk antara satu sama lain sambil memegang topi keledar.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.