AS mahu teruskan sekatan terhadap Iran

94

23 OGOS: Amerika Syarikat (AS) tetap berkeras untuk mengenakan sekatan antarabangsa ke atas Iran walaupun ditolak 13 daripada 15 ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC).

Memetik laporan AFP, negara-negara terbabit menentang tindakan AS itu yang dianggap tidak sah kerana menggunakan proses yang dipersetujui di bawah perjanjian nuklear yang terbatal dua tahun lalu.

Bantahan dibuat dalam tempoh 24 jam selepas Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo membuat kenyataan mahu mengembalikan sekatan PBB terhadap Iran termasuk sekatan senjata, dalam tempoh 30 hari.

Hasrat itu ditentang sekutu AS sebelum ini termasuk Britain, Perancis, Jerman, Belgium, China, Rusia , Vietnam, Niger, Saint Vincent dan Grenadines, Afrika Selatan, Indonesia, Estonia serta Tunisia.

AS menuduh Iran melanggar perjanjian 2015 untuk menghentikan pembangunan senjata nuklear sebagai balasan bagi pelepasan sekatan, namun Presiden AS, Donald Trump, menarik diri daripada perjanjian itu pada 2018.

Diplomat berkata Rusia, China dan banyak negara lain tidak mungkin mengenakan sekatan ke atas Iran, manakala Pompeo sekali lagi memberi amaran kepada Rusia dan China yang menentang AS dalam UNSC.

Tindakan itu berikutan keputusan UNSC Khamis lalu yang secara tegas menolak usulnya minggu lalu untuk melanjutkan embargo senjata ke atas Iran yang akan berakhir pada bulan Oktober ini.

Hanya Republik Dominika yang menyokong tindakan AS untuk meneruskan sekatan itu, namun belum lagi menulis surat secara rasmi kepada UNSC mengenai perkara itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.