5 parti terlibat daftar PN

1,004

23 OGOS: Lima parti termasuk komponen Barisan Nasional (BN) terlibat untuk menjadi sebahagian gabungan Perikatan Nasional (PN) yang kini sedang dalam proses pendaftaran.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Setakat hari ini ada lima komponen yang sudah berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Perdana Menteri akan membuat pengumuman dalam masa terdekat mengenai status permohonan PN.

“Ada lima parti komponen, selain Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ada empat lain. Ada komponen Barisan Nasional (BN) bukan atas nama BN, dia mewakili parti yang berkenaan,” katanya pada sidang media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan bahawa parti itu akan menyertai PN bersama BERSATU.

Semalam, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dilaporkan berkata logo dan butiran lanjut berkenaan PN akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Gombak itu berkata, pihaknya mengambil sikap terbuka dalam penyertaan mana-mana pihak bersama PN.

Sementara itu, ketika berucap di Ladang Sungkai dekat Kampung Hendra, Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir kerajaan selama 22 bulan gagal kerana tidak mampu membela rakyat.

Beliau berkata, kerajaan PN berjaya menyelesaikan banyak krisis sama ada berkaitan ekonomi, politik serta kesihatan dan mahu rakyat menerima hakikat bahawa pentadbiran Muhyiddin adalah yang terbaik di dunia kerana berjaya menguruskan pelbagai isu.

“Mujurlah penularan wabak COVID-19 tidak berlaku pada zaman PH, (jika ketika PH) mungkin lebih ramai rakyat menderita, …bukan kerana wabak tetapi disebabkan kerajaan PH.

“Ketika PH, minta wang tiada… semua tiada tetapi kita tengok hari ini dalam pentadbiran kerajaan PN masalah itu tidak timbul demi membantu semua rakyat di negara ini. Kerajaan (PN) memberi peruntukkan bukan disebabkan pilihan raya,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.