Laporan kewangan TH dibentang minggu depan

75

22 OGOS: Laporan Kewangan Tabung Haji (TH) bagi tahun 2018 dan 2019 dijangka dibentangkan sebelum sesi mesyuarat kedua sidang Dewan Rakyat, berakhir pada Khamis depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata Kementerian Kewangan sedang dalam proses akhir semakan semula laporan kewangan berkenaan sebelum dibawa ke mesyuarat kabinet dan seterus dibentangkan di Parlimen.

“Insya-Allah sebelum sidang Parlimen kali ini berakhir, laporan itu akan dibentangkan, jika tiada aral melintang,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis pelancaran muafakat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam hari ini.

Beberapa pihak sebelum ini membangkitkan mengenai laporan kewangan TH bagi tahun 2018 dan 2019 yang masih belum dibentangkan di Parlimen.

Mengulas mengenai perkembangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi TH, Zulkifli berkata perkara berkenaan bergantung kepada pertimbangan Kementerian Kewangan.

Menurut beliau, Kementerian Kewangan perlu memperhalusi pelbagai isu sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan penubuhan RCI berkenaan.

Pada 17 Ogos lepas, media melaporkan bahawa cadangan penubuhan RCI TH dijangka dibawa ke mesyuarat Kabinet minggu ini.

Menurut Zulkifli, selain perbincangan khusus dengan perdana menteri pada 12 Ogos lepas, perbincangan dari semasa ke semasa berhubung perkara itu juga akan diteruskan dengan laporan akan dikemukakan oleh Menteri Kewangan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.