KKM kompaun Dr Khairuddin RM1,000

184

22 OGOS: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dikenakan kompaun RM1,000 oleh Kementerian kesihatan kerana melakukan kesalahan berkaitan arahan kuarantin untuk individu yang pulang dari luar negara.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dalam satu kenyataan memaklumkan, kompaun berkenaan yang dikeluarkan pada 7 Ogos lalu menurut Akta 342 sudah dijelaskan oleh Dr. Khairuddin.

“Kompaun dikeluarkan ke atas Dr Khairuddin setelah beliau melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

“Dr Khairuddin telah pulang dari Turki pada 7 Julai 2020. Sampel swab kali pertama telah diambil pada hari yang sama dan didapati negatif.

“Ujian saringan COVID-19 kali kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif,” kata KKM dalam kenyataan itu hari ini.

Dr. Khairuddin sebelum ini pulang dari Turki pada 7 Julai lalu tetapi dilihat berada di Parlimen sebelum tempoh kuarantin 14 hari berakhir.

Ini telah mencetuskan isu dalam kalangan pengguna media sosial setelah wakil pembangkang membangkitkan hal berkenaan baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu kelmarin ketika ditanya reaksi beliau meminta semua pihak menunggu kenyataan KKM. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.