Kesatuan hati dan pemikiran untuk Malaysia

52

22 OGOS: Tan Sri Muhyiddin Yassin gembira apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini berjaya menjadi sebuah kerajaan yang berfungsi dengan baik walaupun dibentuk menerusi gabungan pemimpin pelbagai parti.

Menurut Perdana Menteri, biarpun masih tanpa pendaftaran rasmi, ke mana sahaja beliau pergi ramai menyuarakan bahawa kerajaan yang dikenali sebagai PN ini terbukti berjaya berkhidmat seperti mana dikehendaki rakyat.

“Bukan mudah, tapi niat kita tidak lain untuk memelihara kesejahteraan rakyat. Sebab ini mesti ada kesatuan dari sudut pemikiran dan hati.

“Atas dasar itu kita bertindak dalam bentuk kerajaan yang berfungsi supaya kerajaan PN ini mampu memikul tugas sebesar mana pun.

“Alhamdulillah, ini seperti mana dunia melihat kita mampu memenuhi apa dimahukan rakyat dalam kita berdepan cabaran COVID-19,” katanya berucap pada Perhimpunan Kongres Negara di ibu negara hari ini.

Hadir sama Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Penaung Komuniti Negara, Zuraida Kamarudin serta pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan juga wakil pimpinan parti pendokong kerajaan PN.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau mahu kerajaan yang ditadbir ini menguruskan kemahuan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Katanya, walau apa pun disebut pada kerajaan hari ini, menjadi tanggjungjawab dan amanah untuk dipikul semua bagi membela rakyat.

“Sebagai contoh pernah dalam satu mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Gabenor Bank Negara mengingatkan kalau tak dibuka semula ekonomi supaya bergerak seperti biasa dari tempoh yang beliau sebut, seluruh sistem perbankan dan kewangan akan runtuh. Satu trilion ringgit akan hangus.

“Kita tiada pilihan kecuali menghidupkan semula ekonomi walaupun terdapat pelbagai pandangan ketika itu. Kita perlu buat keputusan dan kita tiada pilihan.

“Alhamdulillah hari ini jutaan kembali bekerja. Ini mengenai soal menguruskan bukan hanya nyawa tetapi juga kehidupan,” jelasnya.

Sementara itu, Muhyiddin mengingatkan rakyat supaya tidak menyalahgunakan media sosial bagi menyemarakkan kebencian dan memecahbelahkan rakyat.

“Peranan pimpinan untuk mempermudahkan apa yang rakyat hajatkan. Soal ekonomi, pendidikan, kesihatan, alam sekitar, hubungan antarabangsa itu kerajaan uruskan.

“Untuk tempoh mendatang, kita mesti bersatu hati. Bersatu Untuk Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu memaklumkan, pindaan perlembagaan kepada Bersatu akan dilakukan supaya ahli-ahli bersekutu boleh terlibat sama-sama dalam kepimpinan parti.

“Sebuah jawatankuasa dipimpin Tan Sri Rais Yatim sudah dibentuk dan akan kemukakan cadangan kepada saya. Jika diterima Majlis Pimpinan Tertinggi, kita akan adakan perhimpunan agung supaya perlembagaan kita dapat dipinda.

“Ingatlah, cabaran mendatang memerlukan kita untuk berada dalam satu saf,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.